Motosikal

KAWASAKI TAMBAH PEGANGAN 30% SAHAM KE ATAS MODENAS – BAKAL TERLIBAT DALAM OPERASI DAN PRODUK

DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) telah memeterai perjanjian dengan Kawasaki Heavy Industries, Ltd (KHI) untuk menjual 14,300,00 unit saham biasa di dalam Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS).

Dengan perjanjian ini, KHI yang telah pun memiliki 19% saham MODENAS akan meningkatkan ekuitinya menjadi 30%. Jualan saham tersebut adalah atas dasar persetujuan bersama di antara pembeli dan penjual pada nilai RM40.3 juta.

KHI juga akan membeli 52,000,000 saham keutamaan boleh tukar (convertible preference shares, CPS) yang akan dikeluarkan oleh MODENAS. Apabila ditukar, pegangan ekuiti KHI di dalam syarikat motosikal nasional tersebut akan meningkat kepada 48%.

CPS tersebut hanya akan ditukar tertakluk kepada MODENAS mencapai beberapa tanda aras yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Dato’ Sri Syed Faisal Albar percaya struktur ekuiti baharu tersebut akan memberi manfaat kepada MODENAS.

KHI telah memegang ekuiti di dalam MODENAS sejak penubuhannya lagi. Ketika itu pun, produk mereka telah membantu MODENAS mencapai carta jualan di pasaran motosikal tempatan.

“Pegangan ekuiti yang lebih besar ini bermakna KHI akan mengambil bahagian dalam operasi MODENAS dan bukan sekadar bertindak sebagai pemegang saham.

“Saya yakin pengalaman dan kepakaran teknikal KHI akan dapat memberikan rangkaian produk yang lebih baik kepada pelanggan MODENAS. Terutama dalam segmen street bike dan sports bike,” kata Syed Faisal.

KHI mula mengeluarkan motosikal Kawasaki pada tahun 1960 dan merupakan antara syarikat yang disegani di dunia.

Produk mereka dihasilkan di beberapa kilang di seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat, Filipina, India, Thailand dan Indonesia, selain di Jepun.

Jenama Kawasaki juga mempunyai ramai peminat di Malaysia, sejak ia mula dipasarkan di sini dalam tahun 1970-an. Antara model popular ialah Ninja, Versys dan GTR.

Syed Faisal memberitahu, hubungan sedia ada dengan KHI akan membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama dengan lebih berkesan untuk membangunkan produk bagi pasaran tempatan.

Beliau juga berpendapat populariti produk utama Kawasaki di Malaysia akan dapat membantu MODENAS.

Kilang MODENAS di Gurun, Kedah memiliki kapasiti pengeluaran sehingga 130,000 unit setahun. Produk-produk awal MODENAS diasaskan kepada model-model Kawasaki.

Antara model yang paling popular ialah Jaguh, cruiser 125cc yang dibina daripada model Kawasaki Eliminator 125. Model paling berjaya MODENAS di awal penubuhannya adalah Kriss 110 yang diasaskan daripada Kawasaki Kazer 110.

Tags
Google ads
Back to top button