
KE MANA PLOT FAST AND FURIOUS AKAN BERKEMBANG LEPAS INI? ANGKASA LEPAS?
Francais filem Fast and Furious memang sudah cukup panjang dan memasuki siri ke lapan. Pada asalnya filem ini cumalah berkisar tentang pelumba jalanan, polis menyamar dan golongan penjenayah.
Kini jalan ceritanya berkembang dengan lebih pesat sehingga menjadi seperti sekumpulan manusia hebat ala adiwira yang menggelarkan diri mereka sebuah ‘keluarga’, sering dilihat memandu kereta-kereta mewah dan sudah beberapa kali menyelamatkan dunia.
Bayangkan dari lokasi sebuah bandar filem ini bergerak ke bandar lain, kemudian ke Jepun, lepas tu ke Amerika Selatan diikuti benua Arab. Jauh benar lari dari konsep asal kan? Sekali fikir dah jadi macam filem Mission Impossible tetapi dengan ahli kumpulan yang lebih ramai.
Orang yang bertanggungjawab mereka jalan cerita ini sehingga menjadi antara satu francais filem yang paling berjaya ialah Chris Morgan. Beliau ialah individu yang bertanggungjawab merangka jalan cerita siri Fast and Furious sejak dari siri ketiga, The Fast and the Furious: Tokyo Drift. Berikutan kejayaan siri tersebut, khidmatnya dikekalkan sehinggalah ke hari ini.
Dengan penerbitan siri kelapan filem ini, The Fate of The Furious yang sedang ditayangkan semua di pawagam, tentu ramai yang tertanya-tanya ke mana hala tuju filem ini?. ‘Keluarga’ Fast and Furious sudah berkelana ke serata dunia dalam 7 siri filem ini, jadi di mana lokasi seterusnya? Angkasa lepas mungkin?
Dalam satu temubual dengan Uproxx, Morgan berkata, “Tidak mustahil untuk siri ini berkembang sehingga ke angkasa jika ia menawarkan hasil yang baik.” Ini bukanlah bermaksud Dominic Toretto akan menjadi seorang angkasawan tetapi idea tersebut bukannya sesuatu yang mustahil. Mungkin plot filem ini akan menjadi lebih menggila. Jika The Fate of the Furious ada kapal selam, kenapa tidak ada kapal angkasa selepas ini?
Morgan juga mengejutkan semua dengan menimbulkan persoalan: “Bagaimana jika saudara Dominic yang sudah lama menghilang, Richard B. Riddick muncul semula?”. Makin kecoh filem ini selepas ini jawabnya.
Mungkin ia cuma imaginasi beliau untuk menggabungkan dua watak yang dilakonkan oleh Vin Diesel tetapi jika betul, gabungan Dominic dan Riddick mesti meletup. Dengar mungkin nak tergelak tapi kalau betul projek ini menjadi rasanya penuh panggung dengan peminat yang mahukan kelainan dari siri Fast and Furious sebelum ini.
Ada yang tak kenal Riddick ke? Riddick ialah satu lagi watak lakonan Vin Diesel yang cukup popular. Beliau merupakan seorang penjenayah antara galaksi yang kemudiannya menjadi wira penyelamat umat manusia.
Modal biasa filem-filem Hollywood tetapi cukup diminati di seluruh dunia. Mula-mula dialah paling jahat tetapi akhirnya ditakdirkan menjadi adiwira.
Ini baru idea nak menggabungkan Dominic dan Riddick, buatnya lepas ni ditambah lagi satu watak yang dilakonkan Diesel dalam satu filem contohnya Xander Cage (XXX), mau meletup habis semua panggung dibuatnya.
BACA: SPEED SISTERS-LEBIH BAIK DARI FnF
BACA: SAKSIKAN TRAILER FAST N FURIOUS 8