TRAILER “I AM PAUL WALKER” YANG MENYENTUH HATI…
Pada November 2013, Paul Walker terkorban dalam kemalangan kereta bersama sahabat dan rakan kongsi perniagaan beliau Roger Rodas. Rodas dikatakan hilang kawalan sewaktu memandu Porsche Carrera GT beliau dan melanggar sebatang pokok di tepi jalan. Rodas terbunuh serta merta sementara Walker terbunuh bila kereta tersebut terbakar sebelum usaha menyelamat sempat dilakukan.
Keluarga kedua mangsa telah menyaman Porsche dan melalui proses perundangan yang panjang sebelum ia berjaya diselesaikan. Ia juga merupakan penamat yang tragik kepada pelakon berbakat ini yang juga seorang peminat kereta dan seorang yang gemar melakukan kebajikan khususnya melalui pertubuhan kebajikan yang diasaskannya.
Sempena mengingati aktor kegemaran ramai itu Paramount Network telah menerbitkan dokumentari perjalanan hidup beliau.
Bertajuk I Am Paul Walker, dokumentari itu akan melihat kepada kehidupan Walker sebagai bintang filem serta pelbagai minatnya di luar Hollywood. Ini termasuklah kerja-kerja pemuliharaan laut dan usaha Walker membantu membina kembali Haiti selepas dilanda gempa bumi.
Ia akan menampilkan temubual dengan pelakon, ahli keluarga dan rakan-rakan rapatnya.
Sebelum disiarkan secara rasmi, trailer dokumentasi ini telah disiarkan dan ternyata ia menyentuh hati bagi generasi yang mengenali watak dan lakonan beliau, yang juga telah menaikkan nama Fast & Furious.