Buletin

KECEWA DENGAN KETIDAKADILAN, LELAKI INI BAKAR MOTOR DI DEPAN MAHKAMAH, PADAIYAPPA!

Seorang lelaki di India dilapor membakar sebuah motosikal kesayangannya di hadapan mahkamah di Goa sebagai tanda protes.

Anwar Raj Guru dari wilayah Sawantwadi di Mumbai, India membakar sebuah Royal Enfield Thunderbird miliknya kerana kecewa atas ketidakadilan yang berlaku ke atas dirinya.

Video berdurasi 1 minit 30 saat menunjukkan Anwar mencurahkan sebotol minyak petrol ke atas motosikal tanpa mempedulikan pengguna jalan raya lain yang membunyikan hon kepadanya.

Dia kemudian mencampakkan batang mancis dan motosikal tersebut pantas dijilat api. Sambil menyalakan sebatang rokok, Anwar tenang melihat motosikal itu terus terbakar. Tidak lama kemudian, kelihatan sebuah jentera bomba menyemburkan air ke atas mosikal tersebut.

Kisah malang Anwar bermula apabila motosikalnya itu disita secara tidak sah kerana didakwa memalsukan dokumen pendaftaran. Perbicaraan dilapor bermula pada tahun 2011, sebelum peguambela berjaya membuktikan kes disiasat secara salah.

“Saya pastikan saya tidak terlepas temu janji di mahkamah pada setiap 15 hari dan terpaksa datang dari jauh. Lebih mengecewakan, pengadu dan ramai saksi kes ini tidak hadir tepat pada masa, menyebabkan ia tertangguh begitu lama,” jelas Anwar.

Apabila saksi akhirnya datang ke perbicaraan, Anwar hampir hilang kesemuanya. Ini termasuklah terpaksa membayar yuran guaman dan kos pengangkutan yang berjumlah Rs 3 lakh (RM16,000).

Apa yang mengecewakan Anwar ialah sikap polis Goa yang menangguhkan kes itu. Keadaaan bertambah buruk apabila Jabatan Pengangkutan mengambil masa selama berbulan-bulan untuk melaksanakan arahan mahkamah dan akhirnya mengeluarkan dokumen pelepasan.

Peguambela Anwar, Subash Narvekar menegaskan bahawa ini adalah satu siasatan mudah yang boleh dilakukan dengan pantas. 

Selepas hampir tujuh tahun berdepan dengan kerenah birokrasi dan sebagainya, Anwar akhirnya mendapat kembali motosikal pada 4 Oktober lalu.

“Saya mahu orang ramai melihat tindakan ini sebagai satu simbolik. Royal Enfield Thunderbird ialah motosikal impian saya sejak sekian lama. Sepanjang kes ini berjalan, tahap kesihatan saya semakin merosot.

“Saya tidak lagi boleh menunggang motosikal ini. Melihatnya setiap hari membuatkan saya teringat kepada kesukaran selama ini. Saya kini rasa lebih lega,” kata Anwar.

Google ads
Back to top button