
ROYAL ENFIELD DAN CFMOTO JALIN KERJASAMA, BANGUNKAN MODEL 250CC
Royal Enfield antara jenama yang semakin mencapai populariti tinggi di pasaran global setelah berjaya merekodkan jualan lebih satu juta unit bagi tahun kewangan 2024 hingga 2025.
Antara penyumbang utama adalah tawaran motosikal pelbagai kapasiti dari 350cc hingga 650cc.

Bagaimanapun, berdasarkan perkembangan terbaru, Royal Enfield dilaporkan sudah bersedia untuk menembusi segmen motosikal 250cc yang merupakan antara segmen paling popular terutamanya melibatkan pasaran Asia.
Memandangkan Royal Enfield tidak pernah membangunkan enjin 250cc timbul laporan bahawa pengeluar motosikal India itu akan berkerjasama dengan CFMoto bagi pembangunan motosikal 250cc.
Persoalannya, adakah kerjasama itu akan menyaksikan Royal Enfield membangunkan enjin serba baharu dengan bantuan CFMoto atau mengguna pakai enjin 250cc sedia ada?

CFMoto ketika ini ada menawarkan motosikal cruiser yang mungkin selari dengan idealogi Royal Enfield menerusi 250CL-C. Ini bermakna, terdapat kemungkinan motosikal 250cc serba baharu yang akan dibangunkan nanti akan berkongsi platform yang sama.
Untuk rekod, CFMoto 250CL-C dipacu enjin satu silinder 249cc yang berupaya menjana 24.8hp dan 20.5Nm.