Buletin

PEMBELI KERETA JENAMA CHINA DI RUSIA MENGADU, KERETA CHINA TIDAK BERKUALITI DAN MAHAL

Pengeluar kereta dari China kini mula menguasai pasaran Rusia setelah pengeluar dari barat keluar dari pasaran negara itu berikutan perang di antara Rusia dan Ukraine.

Disebabkan itu, pengguna Rusia tidak mempunyai banyak pilihan selain beralih kepada jenama China. Namun baru-baru ini, seorang pengguna, Stepan, 28, mendedahkan bahawa kualiti kereta dari China lebih rendah berbanding jenama barat.

“Saya membeli Skoda pada 2022. Jika anda mahukan pendapat jujur dari ​​saya, perbezaannya (dengan kereta China) begitu besar,” katanya kepada Reuters.

Pengeluar kereta Czech, Skoda Auto yang merupakan sebahagian daripada Kumpulan Volkswagen, adalah salah satu daripada beberapa pembuat kereta Barat yang mempunyai pengeluaran kereta di Rusia.

Seorang lagi pengguna, Alexander, 74, menyatakan dia lebih berminat dengan teknologi kereta dari Sweden berbanding China.

“Saya percaya bahawa dari masa ke masa kebolehpercayaan akan bertambah baik,” jelas Alexander. “Sebagai contoh, saya tahu bahawa (Geely) Tugella mempunyai enjin Volvo. Ini yang saya perlukan.”

Untuk rekod, penguasaan pasaran kenderaan jenama China mencapai 37.15 peratus pada Januari-Februari, meningkat 9.48 peratus berbanding setahun sebelumnya.

Sementara, jualan kerera jenama Eropah, Jepun dan Korea pula turun mendadak, 22.6 peratus berbanding 70 peratus.  

Menurut pakar industri automotif, Sergey Aslanyan, walaupun kereta China semakin mengisi jurang, kekurangan reputasi masih menjadi isu.

“Ya, mereka hampir tiada pesaing di sini tetapi tidak bermakna orang menukar pandangan mereka dengan cepat,” kata Aslanyan.

Selain kualiti, turut dipersoalkan adalah mengenai harga Moskvich di mana Model 3 dijual pada harga sekitar AS$26,195 (RM115,755).

Untuk makluman, Moskvich menggunakan bahagian enjin, reka bentuk serta kejuruteraan daripada JAC China.

Sebagai perbandingan, harga untuk Lada Granta, kereta paling banyak dijual di Rusia, bermula sekitar RM38,994.

Google ads
Back to top button