Buletin

KEMPEN ELECTRIFY YOUR LIFE MELABUHKAN TIRAI DI SHAH ALAM

Kempen jelajah Electrify Your Life anjuran PRO-NET, anak syarikat PROTON, berakhir dengan penuh meriah hujung minggu lalu di Central i-City, sekali gus menutup perjalanan promosi yang berlangsung selama tiga bulan di seluruh negara.

Kempen yang bermula sejak Mei itu bertujuan mendekatkan rakyat Malaysia dengan kereta elektrik pertama negara, Proton e.MAS 7, melalui pelbagai aktiviti interaktif termasuk zon gaya hidup, pandu uji dan perkongsian ilmu bersama pakar automotif.

Jelajah ini telah singgah di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Johor Bahru dan Shah Alam, dan berjaya menarik puluhan ribu pengunjung.

Antara tarikan terbesar ialah Peraduan Electrify Your Life yang mengumpul lebih 31,000 penyertaan dari seluruh negara.

Pertandingan ini mengajak orang ramai menghasilkan slogan kreatif bertemakan gaya hidup elektrik, dengan tawaran hadiah menarik termasuk sebuah Proton e.MAS 5 sebagai ganjaran utama.

Nasib nyata menyebelahi Shahrul Aizat bin Ishak, apabila slogannya – “Proton e.MAS menjadikan hidup saya tenang tanpa bunyi, tangkas tanpa kompromi, dan terpacu dengan inovasi” dipilih sebagai pemenang. Shahrul pulang bersama Proton e.MAS 5 baharu sebelum pelancarannya secara rasmi.

“Saya langsung tidak menyangka untuk menang, kerana penyertaan ini dibuat hanya untuk memberi sokongan kepada Proton. Lebih bermakna lagi, slogan itu saya karang bersama isteri. Memang rasa bertuah apabila terpilih daripada ribuan penyertaan. Saya tidak sabar untuk membawa keluarga menikmati pengalaman baharu bersama Proton e.MAS 5 ini,” katanya penuh teruja.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, sambutan yang diterima jelas menunjukkan keterbukaan rakyat Malaysia terhadap mobiliti elektrik.

“Matlamat utama kempen ini adalah menjadikan konsep EV lebih dekat dengan kehidupan seharian rakyat. Walaupun jelajah sudah berakhir, komitmen kami untuk membawa Malaysia ke arah masa depan yang bersih, pintar dan lestari tetap berterusan,” ujarnya.

Ketua Pegawai Penjenamaan PRO-NET, Salawati Yusoff pula menekankan bahawa kempen ini bukan hanya tentang mempamerkan kereta, tetapi juga usaha mendidik masyarakat.

“Kami melihat keluarga, anak muda dan pelbagai lapisan masyarakat mula memahami serta membuka hati terhadap teknologi EV. Itu adalah pencapaian terbesar bagi kami,” katanya.

Dalam pada itu, pra-tonton Proton e.MAS 5 melalui Jelajah MISI 5 masih diteruskan. Siri ini baru sahaja selesai menutup tirai di Wilayah Utara yang merangkumi Kedah, Pulau Pinang dan Perak, dan akan meneruskan perjalanan ke Pantai Timur pada awal September dengan persinggahan di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Google ads
Back to top button