Buletin

PETRON PERBAHARUI KERJASAMA DENGAN RTM UNTUK JELAJAH ASPIRASI MALAYSIA 2025

Petron Malaysia mengumumkan kesinambungan kerjasama dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi menganjurkan Jelajah Aspirasi Malaysia 2025, yang akan berlangsung dari 16 Ogos hingga 13 September depan.

Program berskala nasional ini kembali untuk tahun kedua, menampilkan pelbagai pengisian interaktif dengan masyarakat sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Siri jelajah ini akan menjelajah seluruh negara, bermula di utara Semenanjung, dengan Gua Kelam, Perlis dipilih sebagai lokasi pelancaran rasmi. Antara acara yang menjadi tumpuan termasuk perlumbaan Historace, iaitu pertandingan berkonsepkan warisan bagi mengetengahkan sejarah serta destinasi pelancongan tempatan.

Kerjasama ini turut disokong oleh pengusaha stesen minyak Petron, kakitangan serta rakan strategik daripada sektor awam dan swasta.

Pelbagai aktiviti dirancang sepanjang sebulan penganjuran, merangkumi aspek perpaduan, kelestarian, sosioekonomi dan juga pembangunan komuniti.

Ketua Perniagaan Runcit Petron Malaysia, Shaliza Mohd Sidek, berkata program tersebut menjadi platform untuk menyatukan rakyat Malaysia dalam suasana penuh kebersamaan.

“Petron berhasrat menyemarakkan semangat perpaduan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia melalui aktiviti yang bermanfaat. Kami percaya inisiatif ini mampu memberi nilai tambah kepada masyarakat setempat,” katanya.

Selain itu, Petron akan menggerakkan kempen kitar semula dengan mengumpul penutup botol plastik di sepanjang siri jelajah.

Sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-68, pelanggan juga berpeluang menyertai cabaran membeli-belah pantas melalui kempen ‘Petron Hypermarket Sweep’ dan ‘Petron Pasti OK Mini Sweep’ di kedai Treats yang ditaja sepenuhnya oleh syarikat.

Google ads
Back to top button