
BYD MULA HANTAR DOLPHIN EV DARI THAILAND KE PASARAN EROPAH
BYD mencatat sejarah baharu apabila kumpulan pertama sebanyak 959 unit model elektrik Dolphin dieksport dari Thailand ke pasaran Eropah, merangkumi Jerman, Belgium dan Belanda.
Pengeluar automotif dari China itu mula menjejakkan kaki ke pasaran Thailand pada 2022 menerusi model ATTO 3.
Sambutan yang luar biasa, termasuk pelanggan sanggup beratur sepanjang malam untuk membuat tempahan, membuka jalan kepada pengembangan pantas BYD di rantau ini.
Sejak itu, syarikat berkenaan bukan sahaja meluaskan rangkaian kenderaan elektrik (EV) dan hibrid plug-in, tetapi turut membina keupayaan pengeluaran tempatan.

Kilang pemasangan di WHA Industrial Estate, Rayong, yang mula beroperasi pada 4 Julai 2024, dibangunkan di tapak seluas 600 rai dengan kapasiti sehingga 150,000 unit setahun.
Pada masa ini, fasiliti itu menggaji sekitar 6,100 pekerja dan dijangka meningkat kepada 10,000 orang. Pelaburan BYD di Thailand yang bernilai lebih 35 bilion baht (RM4.52 bilion) turut merangkumi pengeluaran bateri serta sistem pacuan kuasa.
Pada peringkat awal, kilang tersebut dirancang sebagai hab pengeluaran kenderaan pandu kanan untuk pasaran domestik dan negara ASEAN lain.
Namun kini, BYD memperluas fungsi kilang itu untuk menghasilkan model pandu kiri bagi tujuan eksport.
Langkah ini selaras dengan skim EV 3.0 kerajaan Thailand, yang menawarkan insentif seperti pengecualian cukai import, pengurangan cukai eksais kepada 2 peratus serta subsidi sehingga 150,000 baht (RM19,400) bagi setiap kenderaan.
Di bawah skim tersebut, setiap unit EV yang diimport perlu diimbangi dengan pengeluaran tempatan—satu unit pada 2024 dan meningkat kepada 1.5 unit pada 2025.
Peraturan terkini memberikan kelonggaran dengan membenarkan eksport dikira sebagai sebahagian daripada kuota imbangan pada kadar 1.5 kali ganda.
Sebagai jenama EV nombor satu di Thailand dengan pegangan pasaran sekitar 8 peratus, BYD berdepan tanggungjawab besar untuk menghasilkan kira-kira 30,000 unit menjelang akhir 2025.
Walaupun jualan EV domestik melonjak sehingga 66,000 unit dalam tujuh bulan pertama tahun ini, jumlah tersebut masih belum mencukupi untuk menampung komitmen BYD.
Oleh itu, strategi eksport dilihat sebagai jalan keluar untuk menyeimbangkan imbangan pengeluaran dan mengelak lambakan di pasaran tempatan.
Bagi pihak kerajaan pula, eksport memberi kelebihan tambahan kerana kenderaan yang dihantar ke luar negara tidak melibatkan pembayaran subsidi, berbanding unit dijual di dalam negara.









