
KEMALANGAN & AIRBAG TAK BERFUNGSI? PUNCA SEBENAR DIDEDAHKAN
Baru baru ini media sosial gempar dengan satu isu berkenaan dengan sebuah kereta yang dilaporkan tidak mengaktifkan beg keselamatan udara sebaik sahaja kemalangan berlaku. Tanpa prejudis terhadap pemilik, jenama dan juga netizen yang telah mengulas isu ini, penulis cuba meneka sebab kenapa beg udara tidak diaktifkan semasa kemalangan sedang berlangsung.
Berdasarkan gambar kemalangan yang ditularkan, memang timbul persoalan kenapa airbag tidak terbuka ketika kemalangan berlaku. Berikut beberapa kemungkinan teknikal yang boleh menjelaskan keadaan ini:
1. Lokasi Impak Tidak Mencetuskan Airbag- Airbag direka untuk terbuka hanya apabila berlaku impak tertentu yang berisiko tinggi mencederakan penumpang. Dalam kes yang tular, impak utama kelihatan berlaku di bahagian sisi kanan kereta (belakang & tengah) serta sedikit pada bahagian hadapan kanan.
Sekiranya impak tidak memberi tekanan kuat secara terus ke zon hadapan (frontal crumple zone), airbag depan (pemandu dan penumpang depan) mungkin tidak diaktifkan.
2. Sensor Tidak Diaktifkan Sepenuhnya– Operasi airbag bergantung kepada sensor impak yang terletak di beberapa zon (depan, sisi, dan jugabelakang). Dalam kes ini jika sensor hadapan tidak menerima daya hentaman melebihi halaju yang ditetapkan (sebagai contih 40km/h terus ke hadapan), airbag depan tidak akan dikeluarkan.
Sensor sisi mungkin wujud, tetapi jika hentaman berlaku di luar zon sensor (seperti tengah pintu atau tiang tengah kereta), airbag sisi pun mungkin tidak akan diaktifkan.
3. Masalah Sistem atau Kerosakan Sebelum Kemalangan – Jika terdapat kerosakan pada sistem airbag (sebagai contoh lampu amaran airbag menyala sebelum ini) maka sistem mungkin telah dimatikan secara automatik.
4. Sudut Impak Bukan “Trigger Angle” – Sistem airbag moden hanya akan bertindak balas jika sudut impak selari dengan parameter pengaktifan. Dalam gambar, impak hadapan berlaku agak menyerong ke kanan, dan ini boleh mengelirukan sistem jika sudut tidak cukup tepat.
Sistem airbag moden berasaskan sensor accelerometer dan kadangkala giroskop yang diletakkan di pelbagai lokasi pada casis kenderaan. Ia hanya akan mengaktifkan beg udara jika syarat berikut dipenuhi:
1. Arah impak (vector force) selari atau hampir selari dengan sudut pengaktifan yang telah diprogramkan.
2. Perubahan kelajuan melepasi nilai tertentu — sebagai contoh dari 40km/j menjadi 0km/j secara tiba-tiba untuk airbag pemandu dan penumpang diaktifkan.
5. Kereta tersebut menggunakan airbag pintar – sesetengah model menggunakan beg keselamatan udara lengkap dengan ciri “smart airbag” atau “advanced airbag system”. Sistem ini akan mengambil kira beberapa parameter sebelum airbag betul-betul diaktifkan.
Selain mengukur arah hentaman, sistem ini akan mengambil kira posisi dan berat penumpang serta menganggarkan jika penumpang berada terlalu dekat dengan dashboard, maka risiko kecederaan dari beg udara adalah lebih besar
Sistem ini juga boleh mengembangkan beg udara dengan cepat atau perlahan, diintegrasikan dengan beg keselamatan udara, sistem ESC dan boleh membuat panggilan kecemasan jika diperlukan. Pendek kata sistem boleh berfikir dengan sendiri dan memutuskan jika beg udara perlu digunakan atau dibuka dengan perlahan atau laju
Namun semua aspek dan kemungkinan yang kami senaraikan di atas adalah berdasarkan teori semata-mata dan mungkin ada salah dari segi pelaksanaan semasa kemalangan berlaku. Bagi pihak pengguna, kami nasihatkan untuk melakukan imbasan pada modul SRS melalui pihak ketiga untuk melihat samaada modul tersebut beroperasi secara normal ataupun berlaku kerosakan sebelum kemalangan berlaku