,
Artikel Pilihan

KENAPA FERRARI TIDAK BUAT SUV/CROSSOVER?

Jawapan yang mudah ialah sebab mereka tidak minat. Tapi mari kita berfikir dengan lebih mendalam kenapa pengeluar Itali tersebut kekal dengan tradisi pengeluaran kereta hyper dan supercar mereka sedangkan seteru mereka Lamborghini sudah menghasilkan sebuah crossover iaitu Lamborghini Urus. Paling kurang sport yang pernah dihasilkan oleh Ferrari ialah model FF

Ia merupakan coupe 2 pintu dengan 4 tempat duduk mewah dalam kelas Grand Tourer dan dikuasakan dengan enjin V12 6300cc dengan AWD. Nak senang, Ferrari boleh naikkan sedikit ketinggian FF maka ia akan menjelma menjadi sebuah crossover. Jaguar, Maserati, Porsche, dan Bently semuanya sudah menghasilkan crossover. Malah Rolls Royce pun sudah hasilkan model Cullinan

Jadi mari kita patah balik kepada Lamborghini Urus yang menjadi tanda aras sebuah Crossover hyper. Untuk pengetahuan anda, jenama Lamborghini telah berada di bawah naungan kumpulan Volkswagen semenjak tahun 1998 lagi. Volkswagen telah memastikan jenama ini menghasilkan keuntungan dibawah seliaan mereka

Mari kita kaji komponen yang digunakan oleh Lamborghini bagi menghasilkan model Urus. Jangan terkejut ya.

1. Model ini dibangunkan di atas platform yang dinamakan platform MLB yang merupakan singkatan Modularer Längsbaukasten atau Modular Longitudinal Matrix. Ia merupakan modular bagi enjin yang dipasang di depan secara menegak. Paling menarik ia berkongsi platform dengan AudiQ7, Audi Q8, Porsche Cayenne, Volkswagen Tuareg dan Bentley Bentayga

2. Kos pembangunan platform ini mahal, dan kumpulan VW ada skala ekonomi yang besar bagi memastikan kos pembangunan diminimakan. Ferrari hanya mengeluarkan 7000 unit kenderaan setahun dan pada pandangan penulis sangat susah untuk mereka menjana keuntungan jika membangunkan SUV

3. Sistem suspensi, sistem anti oleng aktif, penyerap hentakan udara dan sistem steering roda belakang diambil daripada Bentley Bentayga dan Porsche Cayenne.

4. Urus merupakan model pertama Lamborghini yang tidak menggunakan enjin natural aspirated enjin 10 silinder atau 12 silinder susunan V tapi menggunakan enjin V8 dengan bantuan turbo berkembar. Enjin ini merupakan enjin yang sama digunakan pada Porsche Cayenne

5. Transmisi 8 kelajuan dibekalkan oleh ZF Transmission merupakan transmisi automatik biasa yang digunakan oleh pengeluar lain termasuk BMW Z4 dan Toyota Supra.

6. Kemasan paparan meter dan sistem elektronik dipinjam daripada Audi Q7/Q8. Penulis yakin hanya kemasan kulit adalah daripada part-bin Lamborghini.

Nampak tak apa yang penulis cuba sampaikan? Lamborghini berjaya menghasilkan sebuah Crossover hypercar dengan menggunakan komponen yang dihasilkan daripada kumpulan Volkswagen, satu kelebihan yang tiada pada Ferrari. Ia tetap menghasilkan sebuah produk dengan logo kerbau guling yang garang, namun namun bagaikan hilang bisa.

Namun pada masa yang sama pendirian Ferrari untuk kekal tidak menghasilkan crossover mungkin menyebabkan mereka kehilangan pelanggan, namun CEO Sergio Marchionne menyatakan untuk kekal eksklusif mereka hanya memaksimakan pengeluaran mereka pada 10,000 unit sahaja setahun. Seperti yang anda tahu sesetengah model Ferrari, anda perlu mendapat surat jemputan untuk membelinya.

Ferrari akan kekal sebagai pengeluar supercar dan hypercar yang eksklusif dan lambang prestij bagi pemiliknya yang tahu menggunakan pedal minyak, brek dan stering dengan betul. Ia tidak menghasilkan produk fake semata-mata mahu memuaskan hati orang berduit. Ia kekal dengan falsafah pemiliknya iaitu Enzo Ferrari di mana kereta yang dijual di jalan raya adalah untuk membiayai aktiviti perlumbaan mereka

Jadi pendapat peribadi saya pada Urus, ia hanyalah sebuah produk keluaran kumpulan Volkswagen dengan komponen dari kumpulan Volkswagen tapi dengan logo Lamborghini. Jadi mari kita simpulkan 3 sebab utama kenapa Ferrari tidak berminat untuk menghasilkan SUV atau crossover.

Gambaran grafik crossover Ferrari

Ferrari tidak berada dalam mana-mana kumpulan automotif dunia seperti Lamborghini yang dinaungi oleh Volkswagen, yang kaya dengan pelbagai khazanah komponen automotif. Untuk menghasilkan komponen baru, Ferrari perlu berbelanja besar dalam R&D.

Bagi memastikan kos R&D balik modal, ia perlu menjual SUV atau crossover tersebut dalam kuantiti yang banyak. Ini bertentangan dengan prinsip eksklusiviti yang diterapkan oleh Ferrari dimana mereka menjual kereta supercar dan hypercar secara jemputan. Produksi kereta mereka hanya 10,000 unit sahaja setahun.

Dan akhir sekali, supercar dan crossover susah untuk bercampur. Ibarat air dan minyak. Orang beli crossover untuk keselesaan, beli SUV masuk hutan dengan mudah. Nak laju seperti kereta rali di laluan berbatu beli saja Ford Ranger Raptor, nak bergaya beli Range Rover Velar.

Tags
Google ads
Back to top button