Artikel Pilihan

KENAPA KERETA BIASA SUSAH UNTUK BUAT PECUTAN 0-100KM/J DALAM MASA KURANG 2 SAAT

Kereta Top Fuel dragster boleh memecut dari 0-100km/j dalam masa kurang 0.8 saat dengan senang. Ia biasanya menggunakan enjin yang menghasilkan antara 8500-11,000 kuasa kuda serta dipasang dengan tayar khas super slick. Top Fuel Dragster boleh mencapai 478km/j dalam jarak 200 kaki.

Masalahnya enjin yang digunakan oleh Top Fuel Dragster memang tak tahan, sebab ia hanya direka untuk bertahan sekejap bagi tujuan pecutan pantas dan selepas perlumbaan, enjin tersebut perlu dibina semula. Enjin kereta biasa pula tak boleh nak rebuilt setiap kali digunakan untuk pecutan 0-100km/j dalam masa kurang 2 saat.

Siapa nak tanggung kos pembaikan enjin. Nak tukar minyak pelincir pun pemilik kereta berkira-kira. Untuk menghasilkan pecutan pantas, cengkaman maksima dari tayar ke permukaan adalah lebIh penting dari kuasa yang dihasilkan oleh enjin. Tak ada guna jika enjin terlalu berkuasa tapi tayar mengalami slip.

Ya tayar yang digunakan oleh kereta biasa tak sama dengan tayar full slick racing yang digunakan oleh Top Fuel Dragster. Dalam perlumbaan dragster, tayar ini menggunakan tekanan angin yang rendah untuk cengkaman yang sangat bagus. Tayar kereta biasa perlu mengurangkan cengkaman bagi memastikan ia berfungsi dalam pelbagai dimensi dan keadaan.

Ia menggunakan rekaan groove (atau longkang) untuk mengelakkan aquaplaning dan diperlukan ketikan dipandu di jalan basah. Lagi banyak groove, semakin kurang cengkaman tayar yang dihasilkan. Semakin kurang cengkaman tayar, makin susah ia nak memecut 0-100km/j dengan pantas.

Tayar biasa juga menggunakan angin pada tekanan yang lebih tinggi kerana tekanan angin dalam tayar akan bertindak sebagai spring bagi membantu mengatasi masalah jalan tidak rata dan berlubang. Semakin tinggi tekanan angin, semakin kurang cengkaman yang dihasilkan

Tayar biasa juga menggunakan formulasi yang berlainan dari tayar super slick yang lebih melekit. Kelebihan menggunakan formulasi getah yang lebih keras ialah, kita hanya perlu menukar tayar apabila mencapai jarak 30,000-40,000km. Siapa yang sanggup menukar tayar super slick yang perlu ditukar setiap 100km? Nak tukar tayar biasa pun berpeluh tapak tangan.

Kalau anda perasan, kebanyakan syarikat automotif akan bekerjasama dengan syarikat tayar ketika membangunkan tayar baru khusus untuk model kereta mereka. Sebagai contoh Ativa yang menggunakan tayar Bridgestone. Dodge Demon juga menghasilkan tayar drag radial, sipi-sipi saja lepas peraturan DOT US (Department of Transport)

Dodge tidak membenarkan tayar ini digunakan ketika hujan, tapi di litar drag Dodge Demon ini boleh memecut 0-100km/j dalam masa 2.3 saat sahaja. Kereta biasa juga memiliki sistem gear yang agak kompleks untuk membantu kereta memecut menjadikan kereta kehilangan waktu untuk menukar gear ketika memecut

Apa yang unik, kereta elektrik tiada isu ini kerana kereta elektrik menggunakan motor yang menghasilkan tork maksima dari 0 RPM lagi. Tambahan pula kereta elektrik dipacu dengan sistem gear tunggal. Maka tak hairanlah kereta elektrik boleh mengalahkan supercar dalam perlumbaan drag

Sebagai contoh Rimac C Two menghasilkan 1914 kuasa kuda dari 4 motor elektrik dengan kuasa dibekalkan dari bateri sebesar 120 kWh Lithium Nickel Manganese Cobalt Oxide . Rimac dikatakan berupaya memecut 0-97km/j (0-60mph) dalam masa 1.85 saat sahaja. Tambahan pula semua kuasa disalurkan kepada semua tayar dengan menggunakan torque vectoring

Berbalik kepada soalan, adakah boleh kereta supercar petrol dan elektrik melakukan pecutan 0-100km/j dalam masa kurang 2 saat? Boleh dengan syarat ia mesti menggunakan tayar yang memiliki cengkaman yang bagus, tork yang tinggi pada RPM rendah, sistem trenkuasa yang ringkas dan jalan atau litar yang bagus untuk pecutan.

Google ads
Back to top button