Motosikal

HLYM LANCAR NVX 2021, DILENGKAPI Y-CONNECT. HARGA BERMULA RM8,998 SEUNIT

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) melancarkan skuter NVX 2021 serba baharu yang ditawarkan dalam dua varian.

Dua varian tersebut merupakan Standard yang dijual pada berharga RM8,998 dan ABS (Sistem Brek Anti-Kunci) pula ditawarkan pada tag harga RM10,998. 

Skuter terbaharu itu ditawarkan dalam pilihan warna menarik merah (Red) dan Cyan bagi varian Standard.

Bagi varian ABS, ia didatangkan dengan dua warna kelabu (Platinum SE) dan biru (GP Blue).

NVX terbaharu dilengkapi sistem lampu utama LED penuh berkembar dan lampu belakang bagi memberikan suluhan cahaya lebih terang.

Selain itu, ia hadir dengan tangki minyak berkapasiti lebih tinggi 5.5 liter berbanding model terdahulu yang hanya mampu menampung 4.6 liter sahaja.

Dengan kapasiti lebih besar, motosikal terbaharu tersebut berupaya ditunggang sejauh hampir 200 km.

Menariknya tentang NVX itu, ia merupakan model pertama skuter Malaysia dilengkapi aplikasi Y-Connect malah disediakan soket DC 12 v untuk mengecas peranti.

Skuter berkenaan juga menampilkan skrin meter LCD digital yang memaparkan pelbagai informasi termasuk minyak enjin dan pemeriksaan tahap bateri, lokasi akhir parkir, peringatan penyelenggaraan dan prestasi penggunaan bahan api.

NVX 2021 mendapat khidmat enjin 4-lejang silinder tunggal 155cc SOHC penyejukan cecair dengan teknologi BlueCore dan VVA yang mampu menjana kuasa 15.1hp dan tork 13.9Nm dipadankan transmisi automatik V-Belt.

Bagi sistem suspensi, skuter ini menggunakan fork teleskopik di bahagian hadapan dan absorber kembar untuk varian Standard. 

Dari segi sistem brek, ia dilengkapi brek cakera tunggal 230mm di depan, manakala belakang jenis dram.

Bagaimanapun, varian ABS mendapat sistem brek ABS pada roda depan.

NVX 2021 didatangkan dengan rim 14 inci dibaluti tayar saiz 110/80 (depan) dan 140/70 (belakang).

Skuter terbaharu berkenaan boleh didapati di wakil pengedar sah Yamaha bermula Mei depan.

GALERI:

Google ads
Back to top button