,
Artikel Pilihan

KENAPA MAZDA MX-30 CROSSOVER GUNA BATERI KECIL

Bagi memberikan kelebihan pada Mazda untuk terus menguasai pasaran kenderaan penumpang terutamanya di Eropah, Mazda telah memperkenalkan sebuah crossover yang dikuasakan dengan tenaga elektrik pada temasya Tokyo Motor Show 2019. Model yang dinamakan dengan MX-30 ini akan melengkapkan barisan varian yang berasaskan Mazda 3 selain crossover Mazda CX-30.

MX-30 memiliki panjang 4395mm, lebar 1795mm dan tinggi 1570mm. Jarak antara roda pula ditetapkan pada 2655mm. Mazda turut memperkenalkan unit trenkuasa baru khas untuk kereta elektrik ini yang dikenali dengan nama e-SKYACTIV. Bateri pula terdiri daripada sel Ion Lithium dengan 335 Volt dan mampu meyimpan kuasa sehingga 35.5 kWh. Kalau dah nama crossover sudah tentu kuasanya akan dihantar pada roda depan sahaja.

Kuasa ini akan dihantar pada motor elektrik yang menjana 141 kuasa kuda dan 264Nm tork yang memadai untuk memacu crossover ini. Jarak yang ditetapkan oleh Mazda adalah sekitar 209km sahaja bagi setiap bagi satu caj bateri yang penuh. Secara perbandingan Hyundai Kona Elektrik mampu dipandu sejauh 449km setiap kali pengecasan bateri dibuat.

Cesi MX-30 dibina berdasarkan cesi Mazda 3 dan juga CX-30 namun beberapa perubahan telah dibuat pada bahagian untuk mengukuhkan komponen bateri pada cesi menjadikan MX-30 mempunyai ketegaran yang lebih berbanding cesi asalnya. Untuk menjadikan MX-30 lebih Jinba-Ittai, Mazda turut melengkapkan MX-30 ini dengan sistem G-Vector e-GVC Plus.

Jika sistem GVC pada enjin pembakaran dalam bertindak dengan bantuan enjin, sistem ini mengoptimakan motor elektrik bagi menghasilkan karektor motor elektrik dalam fenomena weight transfer ketika MX-30 mengambil selekoh. Selain daripada itu Mazda juga mengelakkan daripada menggunakan brek regeneratif secara keterlaluan bagi memberikan dinamik pemanduan yang lebih lancar.

Oleh kerana struktur ini adalah derivasi daripada cesi Mazda 3 dan Mazda CX-30, maka saiz MX-30 tidak jauh berbeza dengan CX-30. MX-30 adalah lebih tinggi kerana lantai cesi perlu memuatkan sistem bateri. Secara uniknya pintu MX-30 mengambil inspirasi Mazda RX-8 yang menggunakan suicide door. Malah nama MX juga diinspirasikan dari MX-5 sebuah kereta sport 2 pintu milik Mazda bagi menggambarkan keseronokan pemanduan MX-30.

Berbalik pada sistem bateri, ia mampu dicas sehingga 80% penuh dalam tempoh masa antara 30-40 minit. Mazda memilih untuk menggunakan bateri yang lebih kecil untuk mencapai tahap pencemaran udara yang lebih baik kerana bateri 35.3 kWh menghasilkan kurang pencemaran secara keseluruhan jika dibandingkan dengan enjin SkyActiv-X yang baru. Ukuran yang dibuat oleh Mazda adalah menggunakan dari telaga minyak ke tayar kereta.

Ukuran ini mendapati bahawa saiz bateri yang digunakan oleh Mazda MX-30 adalah paling kurang mencemarkan alam bermula dari proses penghasilan bateri, pengedaran dan pengecasan bateri yang masih menggunakan arang batu sehinggalah ia digunakan di dalam kereta. Mazda juga membuat kajian secara purata pemandu di Erpoah hanya memandu sekitar 50km sehari dan jarak yang ditawarkan oleh MX-30 lebih dari mencukupi walaupun ia kurang daripada pesaingnya.

Malah Mazda juga tidak bercadang tidak akan memperkenalkan varian dengan bateri yang lebih berkuasa tetapi akan memperkenalkan versi hibrid yang bertujuan menambah jarak perjalanan. Ia akan digabungkan dengan enjin rotari yang bertindak mengecas bateri dan bukannya bersambung terus dengan sistem trenkuasa MX-30.

 Dari aspek keselamatan, MX-30 dilengkapkan dengan pakej i-ACTIVESENSE yang merangkumi sistem brek automasi Smart Brake Support, sistem kerangka yang kukuh bagi melindungi bateri serta sistem pemantauan laluan yang akan memberikan amaran jika pemandu mulai terleka.

Tags
Google ads
Back to top button