
KENAPA MAZDA BANGUNKAN ENJIN 6 SILINDER SEBARIS? HILANG AKAL KE?
Mazda CX-90 merupakan SUV terbaru daripada Mazda yang dibangunkan dan menggunakan enjin baru 6 silinder sebaris. Ia satu keputusan yang sukar untuk difahami oleh Mazda yang merupakan sebuah syarikat kecil, sedangkan pada ketika ini ramai pengeluar mula menumpukan usaha mereka membangunkan kereta elektrik.
Pada masa yang sama, Mazda juga memiliki enjin 2500cc 4 silinder sebaris lengkap dengan turbo yang menjana sehingga 250 kuasa kuda. Tapi Mazda merasakan enjin 6 silinder sebaris 3300cc lengkap dengan turbo adalah pilihan yang lebih baik.
Berikut adalah sebab kenapa Mazda ingin membangunkan enjin 6 silinder sebaris, antaranya termasuklah:
1. Enjin 6 silinder sebaris menawarkan ruang dalam engine bay yang lebih bagus berbanding enjin V6. Ruang yang lebih ini digunakan oleh Mazda bagi memasang sistem suspensi double wishbone di bahagian depan cesi manakala suspensi belakang pula menggunakan suspensi MultiLink
Gabungan suspensi double wishbone di bahagian depan dan MultiLink di bahagian belakang menawarkan gabungan yang seimbang antara pengendalian yang bagus dan juga keselesaan.
2. Enjin 6 silinder sebaris juga adalah lebih premium berganding dengan enjin 4 silinder, memandangkan enjin 6 silinder ini turut digunakan oleh BMW, Mercedes Benz, Land Rover dan juga Jeep. Penggunaan enjin 6 silinder dengan pacuan roda belakang sebenarnya menawarkan imej yang lebih mahal kepada jenama Mazda. Enjin 6 silinder ini adalah jauh lebih lancar berbanding dengan enjin 4 silinder atau V6.
3. Penggunaan pacuan roda belakang juga memberikan kelebihan kepada Mazda bagi menghasilkan jarak yang cukup besar dari papan pemuka ke gandar depan (dash to axle ratio) bagi menghasilkan rekaan pacuan roda belakang yang lebih elegen bagi rekaan luar, belakang dan juga bahagian dalaman sekaligus mengangkat imej Mazda menjadi model yang lebih mahal.
Enjin 3300cc 6 silinder ini dipasang dengan satu sistem turbo dan juga sistem hibrid ringan 48 Volt menghasilkan 280 kuasa kuda dan 450Nm tork. Bagi varian yang lebih berkuasa enjin ini menawarkan 340 kuasa kuda dan 500Nm tork dengan tetapan boost yang berbeza



