Artikel Pilihan

KENAPA METER BAHAN API CEPAT TURUN, BILA KANDUNGAN TANGKI KURANG SEPARUH?

Pada satu hari yang indah dan sepoi-sepoi bahasa, anda memulakan perjalanan jarak jauh selepas mengisi penuh tangki petrol kereta anda. Satu tangki penuh membolehkan anda memandu untuk sejauh 500km dengan meter digital anda menunjukkan tangki penuh dengan 8 bar bahan api

Malah anda bertambah yakin kereta anda memang jimat minyak kerana selepas 150km perjalanan, penunjuk meter digital kereta anda berkurang satu bar. Ini bermakna kereta anda masih lagi berbaki 7 bar bahan api. Congak darab mudah, 8 bar darab 150km bersamaan 900km.

Wow perjalanan jarak jauh anda kali ini memang best mungkin kerana anda pandai mengawal pedal minyak dan membiarkan Myvi yang laju memotong kereta anda. Biarkan sahaja, petrol masing-masing isi kan.

Tapi anda perasan yang sebaik sahaja tangki petrol menunjukkan baki bahan api 4 bar, laju pulak meter bahan api ini turun. Kalau tadi ia memerlukan 1 bar untuk perjalanan 150km, sekarang ia menggunakan 1 bar bahan api untuk perjalanan 70km. Hmm anda mula rasa pelik, takkan meter bahan api rosak kan

Kereta baru beli, ansuran bulanan pertama pun belum bayar lagi. Jadi ini penerangan yang mudah. Pernahkah anda melihat tangki bahan api diesel yang dipasang pada kenderaan komersial seperti lori? Pasti anda akan perasan yang tangki bahan api lori dihasilkan dengan rekaan berpetak ataupun selinder.

Tapi percayalah bahawa tangki bahan api untuk kereta hampir mustahil untuk direka dengan bentuk petak atau selinder yang hampir sempurna seperti tangki bahan api lori. Berbeza dengan cesi lori yang besar, tangki lori boleh direka dengan rekaan petak atau selinder dengan mudah dan dipasang di bahagian tepi kenderaan

Cesi kereta penumpang pula dihasilkan dengan rekaan cesi monocoque dengan rekaan yang lebih tertutup. Kebanyakan tangki bahan api kereta sedan, kereta kompak, crossover atau MPV diletakkan di bahagian belakang atau secara tepatnya di bawah kusyen penumpang belakang.

Tapi ada juga sesetengah tangki bahan api diletakkan di tengah cesi iaitu di bawah kusyen pemandu depan dan di bahagian kaki penumpang belakang bagi membenarkan rekaan ruang kargo yang lebih besar. Keadaan ini akan membuatkan ruang kaki penumpang belakang terjejas sedikit.

Cuba anda bayangkan platform kereta anda iaitu bahagian lantai kereta bukanlah tebal sangat, tapi disebabkan kebijaksanaan jurutera mereka berupaya menghasilkan tangki bahan api di antara 30-50 liter. Ya bentuk yang optimum mestilah bentuk petak atau selinder

Tapi anda kena ingat tangki ini mesti dipasang di ruang yang sangat terhad, maka pelbagai rekaan, bentuk dan juga dimensi yang tidak simetri digunakan asalkan ia memenuhi syarat keperluan kereta. Mungkin rekaan di bahagian atas tangki bahan api ini besar tapi menguncup di bahagian bawah

Kalau anda rasa rekaan ini pelik, cuba lihat rekaan bahan api GR Yaris yang dihasilkan secara kreatif untuk memautkan 50 liter petrol dalam keadaan banyak kekangan. Ia perlu dimuatkan di bawah lantai tapi pada masa yang sama perlu dimuatkan di atas sistem pacuan 4 roda GR Four yang kompleks

Maka keadaan sebegini menghasilkan rekaan tangki bahan api seperti sayap rama-rama. Pendek kata, tangki bahan api direka supaya ia muat dalam semua keadaan dan menggunakan rekaan yang tak simetri dan sekata.

Keadaan ini menerangkan serba sedikit fenomena mengapa meter digital bahan api kereta anda kadangkala cepat surut selepas separuh petrol digunakan. Mungkin kereta anda ada rekaan tangki bahan api yang pelik sedikit.

Google ads
Back to top button