Buletin

SONY HONDA MOBILITY KINI RASMI. JUAL EV BERMULA 2025

Sony dan Honda Motor secara rasmi bersetuju untuk membentuk satu kerjasama dan mula menjual kereta elektrik (EV) pada tahun 2025. 

Berbanding pegeluar kenderaan global yang lain, Honda dilihat agak perlahan dalam peralihan kepada penghasilan EV. Ia kini diberi tekanan oleh para pemegang saham supaya menghasilkan kenderaan bebas karbon dan dilengkapi teknologi terkini termasuklah pemanduan autonomi. 

Honda yang setakat ini hanya mempunyai model e merancang untuk menghasilkan 30 model EV dengan kapasiti pengeluaran dua juta unit setahun menjelang 2030. 

Kerjasama yang diumumkan pertama kali pada Mac lalu itu dikenali sebagai Sony Honda Mobility. Honda akan membawakan kepakarannya dalam menghasilkan dan menjual kenderaan, manakala Sony bertanggungjawab menyediakan perisian dan teknologi. 

Setiap syarikat akan melabur sebanyak ¥5 bilion (RM165 juta). Eksekutif kanan Honda, Yasuhide Mizuno dilantik sebagai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif. Sementara Naib Presiden Eksekutif Sony, Izumi Kawanishi pula bertindak selaku Presiden dan Ketua Pegawai Operasi.

Honda yang terkenal dengan model-model seperti Civic dan CR-V kini berdepan dengan penyusutan margin keuntungan berikutan kos bahan mentah yang kian meningkat, selain masalah bekalan cip di seluruh dunia. 

Pada awal tahun lalu, Honda memberitahu ia akan membangunkan model-model EV kos rendah dengan General Motors. Kolaborasi itu membolehkan GM membina daua SUV elektrik pertama Honda bermula tahun 2024. – Japan Times

Google ads
Back to top button