
SEGALANYA TENTANG ADBLUE. YA, JANGAN FIKIR BUKAN-BUKAN
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan membincangkan tentang 𝐀𝐝𝐁𝐥𝐮𝐞. Pernah dengar ? Jika tidak, mari kita sama-sama bincangkan tentang perkara ini.
𝐀𝐩𝐚 𝐢𝐭𝐮 𝐀𝐝𝐁𝐥𝐮𝐞 ?
AdBlue adalah cecair yang dikenali sebagai “𝐃𝐢𝐞𝐬𝐞𝐥 𝐄𝐱𝐡𝐚𝐮𝐬𝐭 𝐅𝐥𝐮𝐢𝐝” atau DEF. AdBlue sebenarnya adalah nama yang didaftarkan oleh “German Car Manufacturers Association” atau VDA(Verband der Automobilindustrie). Selain itu, ia juga dikenali dengan nama AUS 32.
DEF merupakan campuran 32.5% “Urea” dan 67.5% “Deionized Water”. “Urea” ? Ye Tuan-Tuan. “Urea” ini merupakan salah satu bahan yang terdapat di dalam air kencing manusia. Terdapat juga cerita yang berlegar di alam maya dimana air kencing babi digunakan dalam proses pembikinan DEF. Namun itu hanya mitos semata-mata.
“Urea” yang terdapat di dalam DEF dibuat melalui proses penguraian Ammonia Sintetik bersama Karbon Dioksida dengan suhu yang tinggi di makmal. Tiada satu pun babi yang terlibat di dalam proses pembikinan “Urea” ini. “Urea” yang digunakan di dalam DEF juga adalah bersih dan ia lebih bersih dari yang digunakan pada produk kosmetik, gam dan juga baja.

“Deionized Water” pula adalah air yang melalui proses “Demineralized” iaitu proses penyulingan untuk membuang semua kandungan mineral seperti “Sodium”, “Calcium”, “Iron”, “Copper”, “Chloride” dan “Sulfate”. Secara harafiahnya air yang dihasilkan melalui proses ini adalah air yang tulen tanpa sebarang kandungan mineral. “Pure Water” dalam bahasa inggerisnya.
Campuran ini lah yang menghasilkan DEF atau lebih dikenali sebagai AdBlue. Walaupun namanya AdBlue, ianya jernih dan tiada sedikitpun warna biru kelihatan. Walaupun jernih, jangan tertipu dengan warna. Ianya berbau busuk. Air kencing korang pun berbau kan, lagi-lagi lepas makan jering. Begitu juga dengan DEF kerana kandungan “Urea”nya. Ia juga bersifat menghakis, oleh itu, sekiranya terkena pada besi, segera bersihkan jika tidak ia akan mengakibatkan karat. Walaupun begitu, ianya tidak merbahaya kepada manusia dan juga persekitaran.
𝐊𝐞𝐧𝐚𝐩𝐚 𝐏𝐞𝐫𝐥𝐮 𝐆𝐮𝐧𝐚 𝐀𝐝𝐛𝐥𝐮𝐞 ?
AdBlue atau DEF merupakan salah satu komponen di dalam sistem “𝐒𝐞𝐥𝐞𝐜𝐭𝐢𝐯𝐞 𝐂𝐚𝐭𝐚𝐥𝐲𝐭𝐢𝐜 𝐑𝐞𝐝𝐮𝐜𝐭𝐢𝐨𝐧” atau SCR. Sistem ini merangkumi tangki simpanan DEF, saluran DEF, pam DEF dan juga “Injector”. Tekanan di dalam sistem pula diretapkan pada kadar 5 bar.
Sistem SCR ini berfungsi untuk menukar gas berbahaya yang dihasilkan akibat pembakaran di dalam enjin diesel kepada gas yang tidak berbahaya.

Pembakaran enjin diesel akan menghasilkan gas “Nitrogen Oxide” atau NOx yang berbahaya dan tidak mesra alam. Pada suhu yang tinggi, AdBlue atau DEF akan berubah kepada gas amonia dan karbon dioksida. Campuran ini akan menguraikan gas karbon monoksida kepada gas nitrogen(N2) dan wap air(H2O). Sekaligus menghasilkan gas yang tidak berbahaya.
Operasinya adalah seperti berikut :-
- Pembakaran berlaku di dalam enjin diesel menghasilkan gas NOx
- Gas NOx akan melalui komponen yang dikenali sebagai “NOx Oxidation Catalyst” atau NOC
- Ketika suhu sederhana dan pada kelajuan rendah, NOC cukup untuk menapis gas NOx yang terhasil daripada pembakaran
- Namun begitu, ia tidak cukup untuk menapis “Diesel Particulate Matter” atau “Soot” atau enapan karbon yang dihasilkan akibat pembakaran yang tidak sempurna
- Disinilah peranan “𝐃𝐢𝐞𝐬𝐞𝐥 𝐏𝐚𝐫𝐭𝐢𝐜𝐮𝐥𝐚𝐭𝐞 𝐅𝐢𝐥𝐭𝐞𝐫” atau 𝐃𝐏𝐅 dimainkan. Ia berfungsi untuk menapis “𝐃𝐢𝐞𝐬𝐞𝐥 𝐏𝐚𝐫𝐭𝐢𝐜𝐮𝐥𝐚𝐭𝐞 𝐌𝐚𝐭𝐭𝐞𝐫” atau “𝐒𝐨𝐨𝐭” atau enapan karbon yang dihasilkan akibat pembakaran yang tidak sempurna itu
- Cuma pada jentera yang dilengkapi dengan sistem SCR, ia dibekalkan dengan unit DPF sekali dengan sistem SCR
- Ketika suhu tinggi dan pada kelajuan tinggi, gas “Nitrogen Oxide” atau NOx yang dihasilkan adalah terlalu banyak dan NOC tidak mampu menapis NOx jumlah yang banyak. Akibatnya, terdapat juga NOx yang dapat melepasi NOC dengan jayanya
- Namun begitu, terdapat satu lagi penapis iaitu DPF dengan SCR betujuan untuk menapis lebihan NOx yang dapat melepasi NOC tadi
- Pada ketika ini, “Injector” akan menyemburkan cecair “AdBlue” atau DEF ke dalam sistem
- Reaksi kimia daripada “AdBlue” menukarkan gas NOx kepada gas Nitrogen(N2) dan juga wap air(H2O) dimana ia tidak berbahaya kepada alam sekitar

𝐊𝐞𝐧𝐚𝐩𝐚 𝐏𝐞𝐫𝐥𝐮 𝐁𝐞𝐫𝐬𝐮𝐬𝐚𝐡 𝐏𝐚𝐲𝐚𝐡 𝐁𝐞𝐠𝐢𝐧𝐢 ?
Hal ini adalah disebabkan peraturan emisi yang semakin ketat bertujuan untuk menjaga alam sekitar.
Peraturan emisi terkini adalah Euro 6. Oleh itu, untuk melepasi standard Euro 6, jentera diesel wajib dilengkapi dengan sistem SCR yang melibatkan komponen AdBlue bersamanya.
Peraturan emisi standard Euro 5 mewajibkan penggunaan DPF pada setiap jentera diesel. Peraturan emisi standard Euro 6 pula mewajibkan penggunaan sistem SCR pada setiap jentera diesel.
𝐒𝐞𝐣𝐚𝐤 𝐁𝐢𝐥𝐚 𝐒𝐢𝐬𝐭𝐞𝐦 𝐒𝐂𝐑 𝐢𝐧𝐢 𝐝𝐢𝐩𝐞𝐫𝐤𝐞𝐧𝐚𝐥𝐤𝐚𝐧 ?
Sebenarnya sistem SCR ini sudah diperkenalkan sejak tahun 2010 lagi. Sudah 11 tahun di dalam industri. Cuma pada mulanya ia diaplikasikan pada kenderaan komersial. Antara pengeluar yang terawal menggunakan sistem SCR ini adalah seperti berikut :-
- Detroit Diesel
- Cummins
- Paccar
- Volvo
- Mack
- UD Trucks
Pada tahun 2015, standard Euro 6 mula diaplikasikan pada jentera penumpang dan antara pengeluar terawal yang menggunakan sistem SCR adalah seperti berikut :-
- Peugeot
- Citroen
- Jaguar
- Land Rover
- BMW
- Mercedes Benz
- Volkswagen
Namun sekarang hampir semua pengeluar kenderaan terutamanya yang ingin memasuki pasaran eropah wajib melengkapi jentera diesel mereka dengan sistem ini. Tujuannya adalah untuk mematuhi piawaian peraturan emisi Euro 6.

𝐀𝐩𝐚 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐉𝐚𝐝𝐢 𝐒𝐞𝐤𝐢𝐫𝐚𝐧𝐲𝐚 𝐉𝐞𝐧𝐭𝐞𝐫𝐚 𝐊𝐞𝐡𝐚𝐛𝐢𝐬𝐚𝐧 𝐀𝐝𝐁𝐥𝐮𝐞 ?
Sekiranya bekalan AdBlue sudah habis di dalam sistem, kenderaan akan kehilangan kuasa. Dan sekiranya enjin dimatikan, ianya tidak dapat dihidupkan kecuali sekiranya cecair AdBlue sudah ditambah ke dalam tangki.
Kehilangan kuasa adalah akibat ECU menghadkan pembakaran di dalam enjin bagi memastikan kadar NOx yang dihasilkan tidak terlalu banyak dan dapat ditampung oleh NOC dan DPF tanpa bantuan SCR.
Kebiasaannya anda akan dapat melihat tahap kuantiti AdBlue di dalam tangki. Ia akan dipamerkan di panel meter jentera anda.
𝐁𝐨𝐥𝐞𝐡 𝐀𝐭𝐚𝐮 𝐓𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐌𝐞𝐦𝐚𝐬𝐮𝐤𝐤𝐚𝐧 𝐂𝐞𝐜𝐚𝐢𝐫 𝐀𝐝𝐁𝐥𝐮𝐞 𝐊𝐞𝐝𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐓𝐚𝐧𝐠𝐤𝐢 𝐃𝐢𝐞𝐬𝐞𝐥 ?
Tidak sama sekali. Hal ini kerana sistem SCR bukanlah sistem yang berintegrasi bersama sistem bahanapi jentera.
Sistem SCR memancitkan cecair AdBlue ke dalam sistem ekzos dimana lokasi pancitannya adalah diantara NOC dan DPF dengan SCR.
Dengan memasukkan cecair AdBlue kedalam tangki diesel, ia akan merosakkan keseluruhan sistem bahanapi jentera dan mengakibatkan kebocoran poket yang agak teruk.
𝐁𝐨𝐥𝐞𝐡 𝐀𝐭𝐚𝐮 𝐓𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐌𝐞𝐦𝐚𝐬𝐮𝐤𝐤𝐚𝐧 𝐃𝐢𝐞𝐬𝐞𝐥 𝐊𝐞𝐝𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐓𝐚𝐧𝐠𝐤𝐢 𝐀𝐝𝐁𝐥𝐮𝐞 ?
Sama sekali tidak. Seperti yang diterangkan diatas, sistem SCR bukanlah sistem yang berintegrasi bersama sistem bahanapi jentera.
Jika anda berbuat demikian, ia akan merosakkan keseluruhan sistem SCR. Bukan murah ye Tuan-Tuan komponen di dalam sistem SCR ini.
Ia juga amat merbahaya, bayangkan diesel dipancitkan terus ke dalam sistem ekzos yang sangat panas. Hasilnya amat menakutkan.

𝐁𝐨𝐥𝐞𝐡 𝐀𝐭𝐚𝐮 𝐓𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐌𝐞𝐦𝐚𝐬𝐮𝐤𝐤𝐚𝐧 𝐀𝐢𝐫 𝐊𝐞𝐧𝐜𝐢𝐧𝐠 𝐀𝐭𝐚𝐮 𝐊𝐞𝐧𝐜𝐢𝐧𝐠 𝐓𝐞𝐫𝐮𝐬 𝐊𝐞𝐝𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐓𝐚𝐧𝐠𝐤𝐢 𝐀𝐝𝐁𝐥𝐮𝐞 ?
Tidak sama sekali. Walaupun air kencing manusia mengandungi kandungan “Urea”, namun ianya tidaklah sebersih “Urea” yang dihasil khusus untuk AdBlue. Tambahan pula, AdBlue merupakan campuran “Pure Urea” & “Pure Water”.
Walaupun kadangkala manusia suka berfikir diluar kotak, namun jangan terlalu banyak berfikir. Tak pernah dibuat orang kencing terus ke tangki AdBlue.
𝐁𝐞𝐫𝐚𝐩𝐚 𝐋𝐚𝐦𝐚 𝐒𝐞𝐭𝐚𝐧𝐠𝐤𝐢 𝐀𝐝𝐁𝐥𝐮𝐞 𝐁𝐨𝐥𝐞𝐡 𝐁𝐞𝐫𝐭𝐚𝐡𝐚𝐧 𝐒𝐞𝐛𝐞𝐥𝐮𝐦 𝐏𝐞𝐫𝐥𝐮 𝐃𝐢𝐭𝐚𝐦𝐛𝐚𝐡 ?
Ia bergantung kepada spesifikasi pengeluar, jarak perbatuan dan juga cara pemanduan. Sebagai contoh, Range Rover Velar mempunyai kapasiti tangki AdBlue sebesar 17 Liter. Kadar penggunaan cecair AdBlue pula adalah pada kadar 1L/800km. Oleh itu, cecair AdBlue perlu ditambah setiap 13,600km secara teorinya. Secara praktikalnya mungkin lebih awal disebabkan faktor cara pemanduan.
Senang cakap, setiap kali servis kena tambah cecair AdBlue ni.
𝐊𝐞𝐧𝐚𝐩𝐚 𝐇𝐚𝐧𝐲𝐚 𝐉𝐞𝐧𝐭𝐞𝐫𝐚 𝐃𝐢𝐞𝐬𝐞𝐥 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐃𝐢𝐥𝐞𝐧𝐠𝐤𝐚𝐩𝐢 𝐃𝐞𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐒𝐢𝐬𝐭𝐞𝐦 𝐒𝐂𝐑 ? 𝐉𝐞𝐧𝐭𝐞𝐫𝐚 𝐏𝐞𝐭𝐫𝐨𝐥 𝐓𝐢𝐚𝐝𝐚 ?
Pertama sekali, antara komponen utama sistem SCR adalah DEF. Namanya pun “Diesel Exhaust Fluid”. Memang direka khusus untuk jentera berenjin diesel.
Seterusnya, enjin diesel menghasilkan gas “Nitrogen Oxide” atau NOx. Enjin petrol pula cenderung untuk menghasilkan gas “Carbon Monoxide” atau CO.
Oleh yang demikian, tiada kepentingan menggunakan sistem SCR pada jentera berenjin petrol kerana pencemaran NOx bukanlah isu utamanya.
Komponen “2-Way Catalytic Converter” sudah cukup untuk menapis gas tercemar daripada enjin petrol. Gas yang ditapis adalah seperti berikut :-
- “Carbon Monoxide”(CO) kepada “Carbon Dioxide” (CO2)
- “Hydrocarbons” kepada “Carbon Dioxide”(CO2) dan wap air(H2O)
Disebabkan peraturan emisi yang semakin ketat, jentera berenjin petrol sekarang dilengkapi dengan “3-Way Catalytic Converter”.
“3-Way Catalytic Converter” menapis gas tercemar seperti berikut :-
- “Carbon Monoxide”(CO) kepada “Carbon Dioxide” (CO2)
- “Hydrocarbons” kepada “Carbon Dioxide”(CO2) dan wap air(H2O)
- “Nitrogen Oxide”(NOx) kepada gas Nitrogen(N2) dan juga wap air(H2O)
Jadi disini, enjin petrol dan diesel menggunakan kaedah yang berlainan bagi menapis gas berbahaya akibat dari pembakaran.
Seperti yang kita lihat juga, enjin diesel menggunakan kaedah yang lebih kompleks bagi memenuhi piawaian peraturan emisi.
Glosari :-
- DEF = Diesel Exhaust Fluid
- VDA = Verband der Automobilindustrie
- SCR = Selective Catalytic Reduction
- DPF = Diesel Particulate Filter
- NOx = Nitrogen Oxide
- CO = Carbon Monoxide
- CO2 = Carbon Dioxide
- H2O = Water
- N2 = Nitrogen
- NOC = NOx Oxidation Catalyst