BuletinMotosikal

KENAPA “WINGLET” PADA MOTOSIKAL MOTOGP DIHARAMKAN?

Kita semua tahu, penggunaan sayap winglet merupakan revolusi dominan dalam sejarah MotoGP sejak diperkenalkan. Teknologi aerodinamik menjadi asas kepada perkembangan ini dan kita boleh lihat dalam beberapa musim yang lepas, Ducati menjadi peneraju dan jelas ia bakal diikuti oleh pasukan lain.

Ia bukan untuk tujuan kosmetik dan hanya nampak cantik, tetapi berfungsi sebagai faktor aerodinamik. Namun yang tak seronoknya, terdapat perbalahan bagi penggunaannya dan seperti yang berlaku pada Formula One, apabila ada isu yang timbul, maka penganjur akan mengeluarkan regulasi baru.

Pihak Grand Prix Commisssion MotoGP telah mengumumkan yang sirip-sirip aerodinamik pada motosikal MotoGP adalah tidak dibenarkan mulai 2017.

AERDINAMIK DAN DOWNFORCE

Sirip ini berfungsi untuk memberikan downforce bagi mengelakkan bahagian hadapan motosikal dari terangkat (wheelie) sewaktu membuat pecutan.

Ini juga bermakna, pengeluar akan dapat menjimatkan kos dalam membangunkan peralatan elektronik bagi mencegah wheelie dan menumpukan kepada peningkatan keluaran kuasa enjin.

Faktor utama ia diharamkan ialah kerana dikhuatiri akan mengakibatkan kecederaan kepada pelumba jika berlaku perlanggaran sesama mereka. Malah pecutan angin yang terhasil di bahagian bawah motosikal juga dikatakan akan mengganggu kestabilan motosikal yang mengekori dari belakang.

Kesemua lima pengeluar kini mempunyai sirip berdasarkan rekaan masing-masing tetapi kini mereka tidak dibenar menggunakannya untuk musim terbaru ini.

Apakah faktor sebenar kepada pengharaman ini dan kenapakah Ducati begitu marah dengan terhadap keputusan terbaru ini?

Sepertimana diketahui, Ducati merupakan pelopor kepada teknologi sirip pada motosikal MotoGP ini tetapi yang menariknya aduan tentang isu keselamatan pelumba ini datangnya daripada para pelumba sendiri.

Ducati pertama sekali memasang sirip pada motosikal mereka pada sesi ujian untuk musim 2015 di Qatar. Alat itu diuji dan diubahsuai mengikut keperluan sepanjang musim. Pasukan lain pula hanya menunggu masa untuk mengeluarkan versi sirip mereka sendiri.

Yamaha memasang sirip-sirip pada motosikal mereka di Misano pada bulan September manakala Honda menunggu sesi ujian pada musim sejuk. Aprilia dan Suzuki pula mempamerkan sirip keluaran mereka di Jerez pada bulan April tahun lepas. Tetapi pada ketika itu perbincangan untuk mengharamkan penggunaan sirip tersebut telahpun bermula.

Pengarah bahagian teknologi MotoGP mengatakan yang isu penggunaan sirip ini muncul akibat aduan daripada para pelumba yang bimbang dengan keselamatan mereka sewaktu berlumba. Oleh sebab itu pihak atasan MotoGP terpaksa membuat perbincangan dan keputusannya jelas berpihak kepada para pelumba dan bukannya pengeluar.

Sebelum keputusan itu dibuat, pihak FIM juga telah meminta persatuan pengeluar jentera MotoGP (MSMA) membuat satu kertas kerja cadangan pagi penggunaan sirip ini di masa hadapan. Ia mesti dipersetujui secara bersama oleh semua pengeluar motosikal.

Kertas kerja itu juga mesti mengandungi maklumat tentang saiz, bentuk, lokasi pemasangan dan material yang digunakan untuk menghasilkan sirip tersebut. Malah mereka juga mahukan jaminan yang sirip tersebut boleh tertanggal dengan selamat dalam kemalangan.

Malangnya kertas cadangan itu tidak pernah muncul sehinggalah keputusan pengharaman sirip tersebut dimuktamadkan di Assen.

Pengurus pasukan Ducati menyatakan yang adalah hampir mustahil untuk mendapatkan persetujuan daripada semua pengeluar lain. Malah kertas kerja tersebut juga tidak pernah dihasilkan.

Jika ia dihasilkan lengkap dengan alasan penggunaan yang munasabah kemungkinan penggunaan sirip tersebut dibenarkan. Tanpa kertas kerja, pihak Grand Prix Commission terpaksa membuat keputusan yang berpihak kepada para pelumba.

Adalah jelas yang pihak pengeluar perlu mengemukakan kertas kerja terlebih dahulu untuk memperolehi kebenaran penggunaan sirip tersebut. Jika ada, pihak GP Commission yang terdiri daripada FIM, Dorna, MSMA dan IRTA boleh menimbang kegunaannya tetapi jika pihak pengeluar sendiri tidak mampu menjamin keselamatan jika menggunakannya melalui kertas kerja adalah mustahil bagi pihak GP Commission untuk meluluskan penggunaannya.

Keputusan itu juga jelas dianggap Ducati sebagai usaha untuk mengatasi kelebihan mereka dari segi aerodinamik. Malah mereka juga merupakan pelopor kepada penggunaannya.

Ia merupakan satu teknologi baru yang telah dibuktikan keberkesanannya bila pengeluar lain turut menggunakan teknologi yang sama tetapi akhirnya terhenti di tengah jalan.

Mungkin suatu hari hari nanti bila ujian demi ujian dihasilkan untuk menguji tahap keselamatannya dan keberkesanannya, pihak GP Commisssion akan memberikan kembali kelulusan untuk menggunakannya.

Siapa tahu kan?

BACA: HONDA LANCAR PASUKAN MOTOGP DI INDO

BACA: PELANCARAN YAMAHA M1 ROSSI-VINALEZ

BACA: DUCATI YAKIN KUASAI PUSINGAN #1 DI QATAR 2017

 

 

sumber

crash.net

Tags
Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button