Artikel Pilihan

KENDERAAN PERTAMA DI DUNIA DENGAN PENGHAWA DINGIN

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan membincangkan tentang kenderaan pertama yang dilengkapi dengan sistem penghawa dingin.

Umum mengetahui fungsi penghawa dingin. Sistem penghawa dingin merupakan satu sistem yang “mesti” ada pada kenderaan sekarang. Apatah lagi di negara kita yang berada di garisan khatulistiwa ini di mana cuaca kita panas dan lembap sepanjang tahun.

Tanpa penghawa dingin nescaya pemanduan akan menjadi tidak selesa lebih-lebih lagi jika terperangkap di tengah kesesakan lalu lintas ketika cuaca panas terik.

Sejarah sistem penghawa dingin pada kenderaan ini bermula pada awal tahun 1930-an dimana syarikat General Motors (GM) mula melakukan eksperimen.

Ketua Penyelidikan (R&D) GM Charles Kettering memuatkan ketulan-ketukan ais di but belakang Cadillac Town Car untuk mengukur tenaga yang diperlukan untuk menyejukkan bahagian kabin kenderaan.

Setelah mendapat jumlah tenaga yang diperlukan, pihak R&D GM melalui ujian sukar di mana mereka perlu mereka satu sistem penghawa dingin yang cukup kecil untuk dimuatkan di dalam kenderaan, tidak bertoksik dan menggunakan gas yang tidak mudah terbakar.

Akhirnya, pihak GM berjaya membangunkan sistem penghawa dingin yang menggunakan asas gas Freon (Chlorofluorocarbons) dan sistem ini berfungsi dengan baik.

Disangkakan hujan sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Syarikat Packard Motor Car Company potong tang konar. Syarikat yang berpangkalan di Detroit, Michigan, USA ini secara tiba-tiba melancarkan kenderaan pertama di dunia yang dilengkapi dengan sistem penghawa dingin pada tahun 1939. Sistem ini dilengkapi pada model 1940 Senior 160 dan 180. Namun, sistem ini bukanlah ciri asas.

Kenderaan yang dikeluarkan dari kilang tidak dilengkapi dengan sistem penghawa dingin. Pelanggan yang berkenan dengan sistem ini perlu menempah terlebih dahulu.

Seterusnya, pihak Packard akan memberikan kenderaan kepada syarikat Bishop & Babcock Co untuk memuatkan sistem penghawa dingin di dalam kenderaan yang ditempah.

Bukan itu sahaja, sistem pemanas juga termasuk di dalam pakej. Syarikat Packard menamakan sistem ini sebagai “Weather Conditioner” sebagai nama jualan mereka. Untuk memiliki sistem ini, pelanggan perlu menambah USD274, kira-kira USD5,025.15 pada tahun 2019 sekarang.

Pihak GM tidak ketinggalan dengan memperkenalkan sistem yang sama pada jentera keluaran mereka pada tahun 1941.

Sebenarnya frasa “tidak ketinggalan” agak kejam memandangkan mereka yang bersusah payah melakukan R&D tetapi tiada angin tiada ribut syarikat Packard yang mendapat kredit.

Namun, sistem yang bagus tidak semestinya mendapat sambutan. Hal ini kerana sistem ini mengambil separuh daripada ruang but belakang. Ia juga tiada termostat dan mekanisma pemati di mana sistem ini akan terus berjalan selagi enjin masih hidup. Maknanya, kalau dan beku dalam tu, redha je lah.

Kemudian, sistem yang kompleks dan penggunaan komponen yang banyak menjadikan ia tidak berbaloi untuk diservis kerana kos yang tinggi. Akhir sekali, nilai USD274 ketika itu adalah sangat mahal.

Akhirnya, sistem ini dihentikan pada tahun 1941. Hanya bertahan 2 tahun di pasaran.

Jadi Tuan-Tuan, ini lah sedikit cerita tentang kenderaan pertama yang dilengkapi dengan sistem penghawa dingin.

Sistem penghawa dingin kenderaan telah banyak berevolusi setelah 80 tahun. Sekarang, hampir kesemua kenderaan penumpang telah dilengkapi dengan sistem penghawa dingin.

Kecuali jika anda membeli Mitsubishi Evo RS atau Nissan Skyline GTR N1. Tiada yang lama tiada yang baru. Terima kasih Packard. Eh, GM. Eh, entahlah.

Tags
Google ads
Back to top button