Artikel Pilihan

KENDERAAN UTE: BAKAL MENJADI SEJARAH

Ute. Ianya bukanlah perkataan hipster mahupun mempunyai maksud yang seakan carutan ya adik kakak. Ute ini bermaksud utility. Kamus Dewan Permotoran, ianya lebih merujuk kepada kenderaan penumpang yang mempunyai ruangan tray kargo dibahagian belakang yang berintegrasi dengan badan kereta bahagian penumpang, berbeza dengan trak/pikap di mana tray kargo adalah terpisah dengan badan kenderaan bahagian penumpang. Dan terma Ute ini terima pakai dengan meluas di bumi Australia dan juga New Zealand.

BACA : SELAMAT DATANG PREVE-PIKAP!!!

BACA : MAZDA 1000 UTE

Adalah dipercayai, kisah kenderaan Ute ini bermula pada sekitar tahun 1933, apabila seorang isteri kepada peladang telah menghantar surat kepada Ford Australia agar membina kenderaan berbumbung yang membolehkan mereka pergi ke rumah ibadat pada hujung minggu dan juga untuk kegunaan mengangkut binatang yang haram disentuh tetapi sedap disebut pada hari Isnin berikutnya ke pasar.

Lew Bandt, selaku seorang pereka muda dari Ford telah mengubahsuai sebuah coupe 1933 dengan membina tray kargo dan memanjangkan chasis bahagian belakang agar lebih banyak binatang yang kurang molek sebut tapi masih sedap disebut itu disumbat dengan lebih banyak. Setelah diluluskan untuk produksi massa, maka bermulalah sejarah Ute pada tahun 1934 oleh Ford Australia. (Sebetulnya ada beberapa dakwaan yang mengatakan bahawa Ute pertama sebenarnya wujud di bumi Amerika sejak tahun 1928 lagi

Maka secara tidak langsung, Ute diterima dan begitu popular di bumi kangaroo itu. Sudah tentu jenama Ford sendiri dan tidak lupa juga Holden begitu popular di sana. Bukan setakat sedap nak bawa mengangkut binatang, kalau bawa pergi kolej, usung makwe penuh ruangan kargo di belakang pun ramai mata yang memandang dengan hasad dengki.

Cuba bayangkan, yang pandu Holden Maloo Ute warna merah makngah, lalu depan foyer utama UiTM, muka pula iras Zul Ariffin. Bergetar tulang belakang orang kata. Cuba yang pandu tu punya wajah biasa-biasa, dengan Proton Arena warna kusam, pasti orang ingat dari Kementerian Kesihatan datang nak sembur nyamuk.

Tapi tahukah pembaca semua bahawa Proton Arena ataupun nama setelah di-orangputih-kan Proton Jumbuck adalah model yang paling popular di pasaran luar berbanding penerimaan di pasaran sendiri. Sungguhpun demikian, harga terpakai bagi Proton Arena sejak akhir-akhir ini boleh tahan merepek juga berbanding rupa asalnya, Proton Wira yang jauh lebih murah. Benda rare memang begitulah jadinya.

Tahukah pembaca lagi, beberapa pengeluar seperti Subaru dan Suzuki turut pernah menawarkan Ute, Subaru Brumby dan juga Suzuki Mighty Boy. Namun pasaran kenderaan ute ini semakin ditenggelam zam dek kerana penguasaan pikap yang turut menawarkan versi 4×2 untuk menjadikannya berprofil rendah dan cuba menyamar menjadi ute. Ura-ura Proton Preve Ute untuk diproduksi secara massa pun nampak samar-samar. Hmmmmm.

Sumber : Wikipedia

Google ads
Back to top button