BuletinMotosikal

POONSAP MARKET – SYURGA TERBESAR PERALATAN MOTOSIKAL DI BANGKOK, THAILAND

Sewaktu membuat liputan Bangkok Auto Salon awal minggu lalu, kami telah berkesempatan menjelajah beberapa lokasi menarik untuk peminat motosikal dan kereta. Sebagai sebuah gergasi pengeluar automotif terbesar di Asia selepas Jepun, Thailand menjanjikan rangkaian pasaran industri berkaitan yang besar, maksud kami sangat-sangat besar.

Poonsap Market – Sukar untuk membayangkannya dalam bentuk tulisan melainkan anda datang ke sini melihat sendiri betapa besarnya industri aftermarket motosikal di Thailand. Ia bukan hanya sebuah atau beberapa buah kedai seperti di Jalan Sentul, Kuala Lumpur, tetapi lebih kepada pusat beli belah terbuka yang menjanjikan ribuan jenis peralatan motosikal, terutamanya motosikal “berkuasa rendah”.

Sejak fotonya kami paparkan beberapa hari lepas di laman facebook mekanika, ia mendapat liputan amat luar biasa yang belum pernah dicatatkan sebelum ini. Fotonya dikongsi hampir 6 ribu pengunjung, menerima hampir 7 ribu likes dan capaian (reach) mencatatkan lebih 1 juta pengunjung. Angka yang menakjubkan hanya untuk satu status yang menggambarkan bahawa ramai pembaca belum tahu tentang keujudan tempat ini.

Poonsap merupakan sebuah tempat yang sebenarnya hampir menjual semua benda. Ada pakaian, keperluan harian, perkakasan rumah, gerai makan dan juga aksesori motosikal dan motor. Namun disebabkan bilangan pengedar barangan motosikal merupakan majoriti di sini, Poonsap lebih dikenali kerana itu.

Ia adalah pusat jualan yang menawarkan peralatan dari sekecil-kecil skru, hingga ke keperluan seperti tayar, rim, komponen enjin, kotak gear, kedai kejuruteraan, helmet ayam dan berjenama, aksesori untuk motosikal besar dan kecil, untuk perlumbaan ataupun mekap motor jalanan.

Semuanya dalam satu kawasan yang terletak kita-kita setengah ekar yang membabitkan lebih 50 buah kedai, gerai dan juga pengedar-pengedar terkemuka. Menurut jurujual yang kami temui dengan menerusi bantuan penterjemah, Poonsap Market adalah “pasar motosikal” terbesar di Thailand dan mungkin juga di Dunia!

Terletak di daerah Phatum Thani di bahagian Utara Bandaraya Bangkok yang mengambil masa kira-kira 50 minit perjalanan melalui lebuhraya sepanjang 40 kilometer. Pada asalnya, ia adalah sebuah pasar biasa yang menjual keperluan harian, kemudian sedikit demi sedikit menjadi tumpuan pengedar aksesori motosikal dan kereta dari ibunegara untuk mendapatkan pasaran mereka.

Lama kelamaan, ia menjadi pusat setempat bagi pengedar terkemuka seperti CHWattana Kolkarn, Musashi Auto Parts, Chumsaeng Autoparts, Thonglor Motor, Ricket Steel Industry, Daisin malah pengedar utama seperti Thai Suzuki Moto pun sudah mendirikan cawangan mereka di sini.

Salah sebuah kedai yang menarik perhatian saya ialah Hispeed Piston (hispeedpiston.com), pengeluar komponen enjin kapasiti kecil yang terkenal di Thailand. Tidak seperti Uma Racing dari Indonesia yang sudah mencapai tahap global dipasarkan ke seluruh ASEAN, jenama ini kurang dikenali. Namun melihat kepada produk yang dijual, kejuruteraan menghasilkannya bukanlah sesuatu yang anda jangka.

Produk seperti kebuk pembakaran enjin daripada seramik, omboh aluminium tempa (forged piston) kepala selinder perlumbaan superhead, crankshaft, injap selinder, ring omboh serta aksesori seperti gasket dan spring injap semuanya dihasilkan sendiri. Kualiti pembuatan dan pemotongan CNC nya sangat kemas dan teliti. Mujur salah seorang jurujualnya boleh berbahasa Inggeris asas jadi sedikit sebanyak maklumat dapat dikongsikan bersama.

Apa yang jelas, pasaran di sini agak berbeza kerana komponen enjin banyak terdiri daripada jenama khusus untuk Honda. Wave dan MSX malah skuter PCX juga banyak komponen pilihannya.

Terdapat banyak lagi kedai yang menjual komponen sampingan seperti sistem karburetor, badan pendikit (throttle body), tangki bahanapi perlumbaan aluminium, sistem nyalaan dan pembakaran, sistem gear, klac, sistem brek, suspensi dan segala mak nenek pasal motosikal.

BARANGAN SEKERAP/TERPAKAI

Selain barangan baru, di sini juga terdapat barangan terpakai atau sekerap (scrap). Ya. anda boleh mencari peralatan terpakai yang ditukar beli di sini. Bagaimanapun nampaknya mereka tidak berapa gembira bila gambar dirakamkan kerana pada awalnya saya menggunakan kamera DSLR. Selepas menggunakan telefon bimbit berkelajuan rendah, nampaknya kerja menjadi lebih aman damai.

Ketika menulis artikel ini juga baru saya perasan terdapat laporan bahawa pada bulan lepas, pihak polis daerah Klong Luang menyerbu pasar sini dan berjaya mendapatkan 12 unit motosikal curi yang belum sempat dileraikan. Seramai tujuh orang ditahan dalam serbuan tersebut dan mungkin juga mereka ingat kawan yang mengiringi saya iaitu Brader Kodiang seorang polis kerana memakai beg sandang. Agaknya lah…

BAGAIMANA MAHU KE SINI?

Ada banyak cara. Kami ke sini menggunakan pengangkutan UBER pada hari pertama dan GRAB pada hari kedua. Anda cuma perlu google petunjuk arah Hospital Krung Siam St Carlos Texas Pathum Thani. Lihat di sebelahnya ada cawangan Toyota dan Poonsap Market terletak di seberang jalan (di belakang 7 Eleven)

Kos perjalanan ke sini sekitar 400 – 500 Baht. Bawa bekalan makanan kerana di sini tiada restoran atau kedai makan halal. Mungkin anda boleh beli roti, onigiri, burger udang BK (halal) di 7-Eleven.

OK siap, boleh buka laman web airasia pulak.

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button