Buletin

SMART #1 VERSI SPORTI MUNCUL, MUNGKIN DAPAT TALAAN BRABUS

Di China, seorang pengguna Weibo, Jason Ferrari telah menemukan sebuah unit smart #1 dengan penampilan yang lebih sporti, dan ini memberikan petunjuk smart berkemungkinan akan memperkenalkan varian berprestasi tinggi yang ditala oleh Brabus.

Model prototaip tersebut menampilkan beberapa perubahan yang ketara, seperti contoh dua liang kemasukan udara di bahagian bawah bonet depan, kemasan liang udara sisi pada bahagian bampar, trim merah, serta rekaan rim sporti yang mendedahkan kelibat angkup brek merah dengan cakera yang lebih besar.

Akhir sekali, spoiler belakang yang menaikkan lagi imej sporti crossover elektrik ini.

Menurut laporan Car News China, smart #1 varian berprestasi tinggi ini dijangka akan dilengkapi dengan motor elektrik berkembar menghasilkan 400 kuasa kuda, berbanding versi standard yang tampil dengan motor elektrik tunggal menghasilkan 264 hp/343 Nm itu.

Sebelum ini, smart pernah menawarkan model talaan Brabus edisi terhad 92R yang menggunakan asas daripada smart EQ Fortwo Cabrio, dengan kuasa setinggi 92 PS dan 180 Nm.

Google ads
"
"
Back to top button