Artikel Pilihan

KERETA BARU UNTUK PASARAN MALAYSIA TAHUN 2022

Tahun 2020 dan 2021 merupakan tahun yang getir dan mencabar buat rakyat Malaysia secara amnya dan merupakan tahun yang agak sukar bagi pasaran automotif. Ia dimulakan dengan kelembapan ekonomi pasca COVID-19, diikuti dengan PKP 2.0 dan diakhiri dengan fenomena ribut dan banjir yang menjejaskan sentimen bakal pembeli

Buat masa ni pasaran automotif negara dikatakan menguncup sedikit kesan daripada peristiwa luar jangka yang melanda Malaysia. Kita masih berharap yang tahun 2022 merupakan tahun yang lebih baik dan lebih bagus untuk rakyat Malaysia. Berikut ialah beberapa model baru yang bakal menjengah pada tahun depan:

1. Perodua Alza – merupakan generasi kedua selepas generasi pertama dipasarkan selama 12 tahun tanpa gagal. Generasi kedua dengan kod D27A bakal menggunakan trenkuas enjin 1.5 dual VVT-i, transmisi Dual Mode CVT dan juga platform Daihatsu New Global Architecture. Platform ini juga bakal berkongsi dengan model Toyota Avanza dan juga Daihatsu Xenia

Namun mengikut maklumat terbaru, pelancaran model ini yang sepatutnya dirancang pada Suku pertama 2022 telah ditunda kepada suku kedua tahun 2022 samaada bulan Mei atau Jun 2022. Salah satu sebabnya ialah masalah bekalan komponen daripada pembekal dan juga cip komputer. Besar kemungkinan kembarnya iaitu Toyota Avanza akan muncul dulu sebelum Alza.

2. Honda BR-V – sebuah lagi SUV kompak yang dibangunkan dengan cesi atau platform Honda City serta menggunakan enjin 1.5 DOHC i-VTEC. BR-V akan memberi saingan sengit kepada Perodua Aruz, Toyota Rush dan juga Mitsubishi Xpander. Melalui spesifikasi untuk pasaran Indonesia, kita boleh agak yang BR-V bakal memberikan “value for money” dan dipakejkan dengan pemanduan ibarat sedan.

3. Proton X90 – mungkin anda perlu sebuab SUV besar, eksklusif dan berkuasa tapi Proton X70 tak cukup besar untuk memuatkan sehingga 7 penumpang. Desas desus bertiup kencang mengatakan Proton X90 (nama ramalan) bakal membuat kemunculan dengan pada tahun depan dengan kelibat Geely Houyue dilihat diuji di sekitar ibu negara dan beberapa jalan utama di ibukota

Bagi pasaran Filipina, ia dikenali dengan nama Geely Okavango dipadankan dengan enjin 1500cc 3 silinder turbo dan juga sistem mild hibrid bagi menghasilkan sekitar 187 kuasa kuda, 300Nm tork yang disalurkan pada transmisi 7 kelajuan klac berkembar

4. Perodua Ativa Hybrid – beberapa gambar unit Daihatsu Rocky telah berjaya dirakam oleh orang awam mencetuskan satu tandatanya berkenaan kemungkinan unit yang diuji merupakan varian hibrid oleh Daihatsu bagi model Rocky. Seperti yang kita tahu, awal tahun 2021 Daihatsu telah menayangkan sistem hibrid terbaru dibangunkan sepenuhnya oleh mereka dengan enjin bertindak sebagai pengecas bateri.

5. Toyota Corolla Cross Hybrid – walaupun rupa asasnya sama seperti Corolla Cross biasa, namun model hybrid sebenarnya lebih canggih dari segi teknologi hibrid dan juga enjin yang digunakan. Buat masa ini Toyota Malaysia hanya membuka tempahan sahaja bagi unit hibrid. Berdasarkan keadaan semasa, kami menjangkakan model ini akan mulai dijual bermula tahun depan.

Sebenarnya kami berharap lebih banyak trenkuasa yang lebih efisyen seperti hibrid dan EV mampu milik akan diperkenalkan bagi pasaran Malaysia tidak lama lagi. Tapi harga kenderaan janganlah mahal sangat termasuk EV biar mampu milik dan sebagai alternatif pilihan kenderaan berkuasa hibrid yang lebih mesra alam mestilah ditambah. Murah, banyak pilihan dan mampu milik barulah orang berkenan nak tukar ke teknologi baru kan

Google ads
Back to top button