Buletin

KERETA REMPUH GERAI NASI LEMAK – TIGA KRITIKAL, ENAM CEDERA

Tiga kritikal sementara enam lagi cedera apabila sebuah kereta Proton Satria terbabas lalu merempuh sebuah gerai nasi lemak di Jalan Hospital dekat Taman Suria.

Kejadian berlaku pada pukul 8.25 pagi itu juga melibatkan tiga buah kereta lain dan enam motosikal.

Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, siasatan awal mendapati kereta Proton Satria dipandu lelaki berusia 20 tahun itu dipercayai terbabas.

Tambah beliau, kereta berkenaan turut melanggar kenderaan diparkir di tepi jalan serta merempuh orang ramai ketika sedang beratur di gerai nasi lemak.

“Seramai sembilan cedera dengan tiga daripada mereka kritikal dan kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk rawatan lanjut,” katanya.

Selain itu, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra turut membantu mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu.

Jelas beliau, pemandu kereta Proton Satria itu berasal dari Jitra dan tidak memiliki lesen memandu manakala cukai jalan serta insuran kereta pula sudah tamat tempoh.

Setakat ini, pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kemalangan tersebut termasuk mengambil keterangan saksi di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button