KEMALANGAN DUA BUAH FERRARI BERAKHIR DENGAN KEBAKARAN – LAJU-LAJU NAK KE MANA?
Dua buah Ferrari telah terlibat dalam kemalangan serius di Itali pada 4 Mac lalu dan sebuah daripadanya terbakar. Insiden tersebut telah dirakam dalam rakaman kamera litar tertutup dan dimuat naik di laman Youtube Supercarnews.
Laporan berita Italy 24 News menyatakan yang kemalangan berlaku pada waktu tengahari di Osimo, sebuah bandar di wilayah Ancona, Itali. Punca berlakunya kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa. Aik, tengok video pun dah tahu terlebih laju tu.
Menurut polis tempatan, kemalangan mungkin diakibatkan oleh kelajuan melulu sepertimana yang dapat dilihat dalam rakaman video di bawah. Polis juga sudah selesai menganalisa keratin video yang berjaya dirakam oleh kamera keselamatan rumah terdekat.
Berdasarkan video tersebut, sebuah Ferrari berwarna merah dilihat terbabas terlebih dahulu di selekoh sebelum diikuti oleh sebuah lagi Ferrari berwarna biru. Kedua-duanya dilihat melambung ke udara sebelum merempuh pagar sebuah rumah. Serpihan kedua kereta dilihat berterbangan sewaktu perlanggaran dan pemandu Ferrari berwarna merah dilihat keluar terlebih dahulu.
Saksi kejadian segera menghubungi talian kecemasan dan paramedik segera tiba untuk menyelamatkan kedua-dua pemandu. Keduanya kemudian dihantar ke hospital Doric,Torrette untuk rawatan. Tiada kecederaan serius dilaporkan.
Jabatan bomba Osimo turut berkejar ke tempat kejadian untuk membantu memadamkan kebakaran Ferrari berwarna biru.
Kedua pemandu merupakan warganegara Belgium dan Belanda yang dikatakan datang melawat kenalan mereka di wilayah Marche (dekat-dekat dengan Machang, Kelantan kot).
Insiden ini mengingatkan kita semua supaya memandu dengan cermat dan akibat yang mungkin menimpa jika memandu terlalu laju. Kalau nak berlumba pergi ke litar lumba yang sah dan jangan berlumba di jalan raya. Ni nasib baik tak terlanggar orang lain tapi pagar rumah tu apa cerita? Nasib baik tak tercampak terus dalam kolam renang.