Buletin

PERMINTAAN TERLALU RENDAH, PROTON TANGGUH TEMPAHAN VARIAN STANDARD X50

Proton Holdings Bhd menyatakan ia akan menangguhkan sementara tempahan untuk varian Standard X50 berikutan permintaan yang rendah. Sebaliknya, ia akan  fokus kepada tempahan varian lebih tinggi iaitu Executive, Premium dan Flagship.

Sejak dilancarkan pada Oktober sehingga akhir Mac 2021, Proton sudah menerima lebih 40,000 tempahan X50. Angka itu sememangnya jauh lebih tinggi berbanding sasaran awal Proton.

Daripada 40,000 tempahan itu, 95 peratus melibatkan varian tinggi. Manakala baki lima perarus ialah untuk varian Standard.

“Walaupun kami mampu memenuhi semua permintaan pelanggan, pengiraan mudah tentang permintaan dan penawaran memerlukan kami untuk memberi perhatian kepada kelompok terbesar pelanggan X50. Dalam kes ini ialah varian selain Standard,” jelas seorang jurucakap Proton.

Setakat Mac 2021, Proton telah menyerahkan lebih 11,000 unit X50 dan kapasiti pengeluaran sudah melebihi angka 3,000 unit. Berdasarkan kepada sasaran terkini Proton, tempoh menunggu untuk X60 adalah sekitar enam bulan.

“Kami memang mahu memendekkan tempoh menunggu. Jadi, beberapa langkah telah diambil, termasuklah menangguhkan pengambilan tempahan varian Standard,” katanya lagi.

Ditanya mengenai tahap keseriusan tempahan tertunggak, Proton melihatnya sebagai keutamaan sejak X50 dilancarkan lagi. Proton juga bekerjasama rapat dengan vendor untuk meningkatkan kapasiti mereka.  

X50 ditawarkan pada harga bermula RM79,200 hingga RM105,300 seunit.

Model X50 dan X70 dihasilkan di saluran pengeluaran baharu di kilang Proton Tanjung Malim yang merupakan sebahagian daripada pelaburan berjumlah RM1 bilion. – The Edge

Google ads
Back to top button