BuletinPandu Uji

KETUA PROJEK PROTON SAGA DEDAH KENAPA MEREKA TUKAR TRANSMISI CVT KEPADA 4AT…

Pihak media baru pulang dari sesi pandu uji bersama Proton Saga 2019 dari Shah Alam ke Ipoh. Walaupun ia sesi ujian yang pendek, majoriti pengamal media sangat berpuashati dengan penambahbaikan yang dibuat pada Proton Saga 2019 ini. Ia bukan sekadar “facelift” semata-mata. Kami boleh katakan, ia hampir menjadi sebuah sedan mampu milik yang sempurna.

Dalam satu sesi soal jawab malam tadi, pihak Pengurusan Proton memberi peluang kepada pihak media bertanya sendiri kepada jurutera-jurutera Proton yang dipertanggungjawabkan membangunkan model ini.

Ketua Projek, Desmond John Pinto yang merupakan Eksekutif Platform Kenderaan memberitahu banyak fakta menarik tentang perubahan yang dibuat terhadap Proton Saga 2019.

KOTAK GEAR BARU

Umum mengetahui bahawa kotak gear Proton Saga 2019 ini tidak lagi dipacu oleh unit CVT yang dibekalkan oleh pihak Punch. Sebaliknya ia dipasangkan dengan transmisi automatik empat kelajuan buatan Hyundai.

Sewaktu kami memandunya semalam, kotak gear dengan sistem torque converter ini menghilangkan terus efek “rubber band” yang sering menghantui kereta-kereta berenjin S4P dalam keluarga Proton.

“Kami mendengar kritikan dari pengguna. Komen tentang CVT itu menjadi sebab utama Proton menggantikannya dengan transmisi konvensional 4 kelajuan,” Ujar Desmond, Ketua Projek Proton Saga 2019.

BACA: CVT, GABUNGAN PENJIMATAN DAN PEMANDUAN SPORTY

“Selain itu, ia akan jadi pilihan buat pelanggan untuk memilih samada transmisi 4AT atau CVT dalam rangkaian kereta-kereta keluaran Proton.

Menurut Desmond lagi, pemasangan kotak gear ini juga bukanlah satu kerja yang mudah. Seluruh pasukan terpaksa merekabentuk semula crankshaft, torque converter, drive shaft dan perumah kotak gear bagi menyesuaikannya dengan unit enjin tersebut.

Umum juga mengetahui bahawa enjin S4PH ini bukanlah unit baharu sebaliknya telah dihasilkan sejak 2004 dengan beberapa generasi berbeza. Proton telah menyesuaikan aspek kuasa kepada rangkaian pemacu baru agar ia tidak menjejaskan pemanduan disamping mengekalkan ekonomikal tahap penggunaan bahanapi.

CVT VS 4AT

Secara teorinya, sistem transmisi CVT akan berupaya mencatatkan penjimatan bahanapi lebih baik berbanding kotak gear tork converter konvensional. Namun dalam kes Proton Saga 2019, mereka menala kotak gear supaya berada pada gear tinggi lebih cepat.

BACA: CVT: ANTARA MITOS DAN REALITI

Menurut Proton, kotak gear baharu ini mencatatkan penggunaan bahanapi yang sama sepertimana CVT terdahulu dalam ujian dalaman yang mereka lakukan.

Kadar penggunaan bahanapi bagi kotak gear Punch sebelum ini ialah 6.7 liter per 100 km dan Proton turut mendakwa dalam ujian tertutup, enjin baharu Saga 2019 ini sebenarnya lebih jimat. Ia dalam lingkungan 2 – 3 peratus lebih jimat berbanding sebelumnya.

MOD SPORT (S) YANG PELIK

Kotak gear automatik empat kelajuan ini bagaimanapun ada satu karekteristik yang aneh mengikut pengalaman kami.

Ia didatangkan dengan mod S (Sport) sebagai pilihan. Namun ia ditala untuk TIDAK bertukar ke dalam gear empat walaupun anda memandu pada kelajuan 500km/j sekalipun. Ia sentiasa berada di gear 3 pada puncak kelajuan.

Pada kedudukan “S” ini, gear-gear bawah (1-3) lebih panjang untuk memberi lebih kuasa pada kedua-dua tayar hadapan – sama seperti perangai biasa mod S dalam transmisi kereta lain.

Namun ketiadaan gear 4 dalam mod “S” memang membingungkan sehinggalah beberapa kali mencuba barulah faham bahawa ketika kelajuan tinggi di posisi “D” sendiri lambat untuk menukar kepada “D3”.

Jadi anda boleh pilih untuk tarik ke posisi S untuk memotong dengan cepat berbanding memijak pedal minyak ketika di posisi D. Kesimpulannya, mod S ini lebih mirip “D3” pada kelajuan tinggi.

Menurut jurutera, ia memang direkabentuk sedemikian rupa, berbeza dengan karekter mod “S” pada kereta lain.

DARI KOTAK GEAR KEPADA SUSPENSI

Mekanisme kotak gear baru ini juga lebih ringkas berbanding CVT. Namun yang demikian ia juga lebih berat. Justeru, Proton Saga 2019 ini telah menerima pembaharuan dari sudut pengendaliannya.

Bukan sahaja kotak gear, sistem brek yang 1 inci lebih besar (dari Persona/Iriz) juga menyebabkan bahagian hadapan kenderaan ini menerima beban baharu.

Penambahan berat ini memaksa jurutera suspensi menala semula tahap bump & rebounce sementara sudut kawalan stereng juga telah ditala semula untuk menyesuaikannya dengan keseluruhan pengendalian kenderaan yang telah berubah.

Seperti yang kami alami dalam pemanduan semalam, Proton Saga ini terasa benar-benar “baru” malah jika bukan kerana saiz dalamannya kompak, kita tidak akan sedar bahawa ianya sebuah sedan segmen A.

Kereta ini mampu menyerap hentakan, lubang-lubang, jalan tidak rata, speed bump dengan baik. Menurut Proton juga, mereka memang menggunakan kepakaran mereka menala Saga 2019 lebih ke arah keselesaan.

GALERI

Petronas MREC – Desktop
Tags
Google ads
Back to top button