Artikel Pilihan

CVT – ANTARA MITOS DAN REALITI

Menerusi beberapa sumber yang boleh dipercayai, Proton Saga berwajah baru bakal diperkenalkan oleh Proton tidak lama lagi. Antara perkara yang menarik perhatian penulis ialah pihak pengeluar yang dikatakan akan menggantikan unit transmisi CVT yang dikeluarkan oleh Punch kepada transmisi 4 kelajuan yang dikeluarkan oleh Hyundai PowerTech. Pada pembaca ia seperti mencapai kemenangan dalam berhujah dengan penulis kerana pada pandangan mereka CVT amat teruk. Seperti biasa penulis bakal menerima beberapa kecaman seperti:

  1. CVT cepat panas
  2. CVT tidak lasak
  3. CVT lembap dan hanya sesuai untuk penjimatan petrol

Sebenarnya apabila jurutera memilih sesuatu solusi kejuruteraan ia adalah berdasarkan data yang diperolehi oleh pasukan pembangunan pemasaran, jumlah peruntukan kewangan yang ditetapkan dan juga beberapa objektif yang ditetapkan oleh pengurusan. Jika jurutera terperangkap dengan had kewangan dan juga sasaran harga maka penyelesaian mutlak gagal diperolehi.

Sejarah penggunaan transmisi CVT di Malaysia bermula dengan model Fiat Punto namun popularitinya naik dengan mendadak apabila Honda City GD8/GD9 generasi keempat mula diperkenalkan di Malaysia sekitar tahun 2006. Namun dengan harga yang mencecah RM78,000 seunit untuk model baru ia bukanlah satu pilihan yang murah untuk pengguna di Malaysia walaupun ia mampu menawarkan penggunaan petrol sekitar 26km per liter petrol.

Pada tahun 2011 pula pihak Proton memperkenalkan Saga FLX yang dilengkapi dengan transmisi CVT bagi menggantikan kotak gear 4 kelajuan konvensional. Mungkin terpengaruh dengan penjimatan bahan api yang pernah dicapai oleh City GD8 maka pengguna menerima transmisi CVT ini dengan hati terbuka. Transmisi ini lebih ringan, penggunaan bahan api 10% lebih jimat, dan penyelenggaraan yang lebih murah disebabkan kurangnya komponen mekanikal yang terlibat. Bagi menangani masalah haba yang terhasil seperti model Inspira, ia turut dilengkapi dengan sistem penyejukan khas untuk unit transmisi.

Namun unit CVT yang dihasilkan oleh PunchPowertrain gagal menepati citarasa dan jangkaan pengguna Malaysia. Operasinya kasar dan menyentap pada halaju rendah dan gagal memberikan pecutan maksima ketika mendaki dan kuasa penuh diberikan. Selama 8 tahun dipasarkan di Malaysia CVT Punch benar-benar merosakkan reputasi CVT sehingga CVT dari jenama kereta lain turut menerima tempias. Terdapat satu jenaka nakal mengatakan ” i have to punch this CVT to make it work”.

Walaupun berbeza jenama antara PunchPowertrain dan juga transmisi CVT yang digunakan oleh Honda City GD ia masih berkongsi satu persamaan. Transmisi berkenaan disambungkan dengan enjin melalui satu mekanisma klac. Honda memanggil transmisi Multimatic Clutch manakala PunchPowertrain menamakan ia sebagai CVT Wet Clutch kerana terdapat bendalir hidraulik yang akan menyejukkan klac semasa operasi untuk mengelakkan kepanasan melampau.

Semasa beroperasi klac Multimatic ataupun klac basah ini akan diaktifkan melalui cecair hidraulik dan akan menyambungkan kuasa yang dihasilkan oleh enjin kepada transmisi CVT. Klac ini akan memiliki 2 roda tenaga atau flywheel yang lebih cekap tenaga berbanding dengan transmisi CVT sekarang yang menggunakan penukar tork atau torque converter.

Bagi memanjangkan jangka hayat CVT, Punch Powertransmission telah melakukan beberapa pengubahsuaian pada unit CVT mereka termasuklah melewatkan sambungan klac beberapa ketika walaupun tombol gear telah masuk pada D bagi mengurangkan tork yang dihantar kepada transmisi CVT. Kesannya tork yang dihantar adalah minima  walaupun pemandu menekan pedal minyak rapat ke lantai menghasilkan pecutan yang lemah demi memanjangkan jangka hayat transmisi CVT. Keadaan ini menimbulkan persepsi pada pengguna yang beranggapan bahawa pecutan CVT adalah sangat lemah dan tidak boleh diharap.

Bagi pemanduan yang perlahan seperti merayap di laluan trafik sesak mendaki bukit Karak semasa pulang berhari raya, penggunaan klac yang sentiasa bekerja iaitu menyambung dan memutuskan klac secara berterusan akan menyebabkan sistem klac CVT akan menjadi terlampau panas. Bagi mengelakkan haba yang terlampau tinggi merosakkan sistem, sesetengah unit CVT walaupun dilengkapi dengan sistem penyejukan akan memutuskan klac buat sementara bagi melindungi sistem. Jadi ia memberikan persepsi bahawa CVT tidak cukup lasak jika dipandu jauh dan mesti direhatkan seketika.

Pemerhatian oleh penulis sendiri pula mendapati unit klac yang dipasang antara enjin dan transmisi CVT adalah tidak seimbang dan harmonik. Gegaran yang terhasil dari unit klac ini sendiri memberikan tekanan pada sistem cagak enjin seterusnya menyebabkan sistem cagak enjin haus lebih awal. Apabila sistem cagak ini sudah haus, gegaran akan mula meresap masuk ke dalam kabin memberikan gegaran pada papan pemuka dan juga cesi. Pada masa yang sama, gegeran ini sebenarnya boleh merosakkan bebola besi pada komponen transmisi CVT terutama pada unit “planetary gear” yang digunakan sebagai gear mengundur. Kerosakan pada bebola besi ini akan mnyebabkan kereta gagal berfungsi untuk mengundur. Bunyinya seperti kelakar namun agak sadis. bayangkan jika anda gagal mengundur ke belakang.

Bagi pengguna CVT Multimatic pula, terdapat beberapa kes terpencil yang menyebabkan transmisi CVT tersebut terus mengalami kegagalan penuh dan gagal bergerak. Antara punca yang menyebabkan masalah CVT ialah kehausan sistem klac Multimatic apabila tekah digunakan melebihi had yang ditetapkan. CVT juga tertakluk kepada “power design limit” iaitu jumlah maksima tork yang boleh dikenakan pada unit CVT dan sekiranya enjin tersebut dimodifikasi secara berlebihan dan menerima lonjakan kuasa, transmisi CVT tersebut akan gagal menerima lebihan kuasa dan jangka hayat CVT tersebut menjadi pendek. Hal ini juga sama dengan tranmisi manual dan juga automatik 4,5,6 atau 8 kelajuan yang biasa.

Salah satu faktor luar biasa yang hanya berlaku di Malaysia ialah corak pemanduan rakyat Malaysia sendiri. Walaupun sudah digazet oleh kerajaan halaju kebangsaan dihadkan pada 110km/j namun rata-ratanya orang Malaysia berdarah Jerman dan mempunyai bau-bau bacang dengan Michael Schumacher dan pihak polis trafik pernah merekodkan kesalahan Myvi yang dipandu pada halaju 180km/j. Malaysia kaya dengan ekosistem lebuhraya yang merentasi negara Johor sehingga ke Perlis, dari barat ke timur merentasi laluan banjaran Titiwangsa yang berselekoh Lebuhraya Timur Barat dan dari Pantai Timur ke ibu Kota menerusi jajaran Lebuh Raya Pantai Timur.

Percayalah terdapat kawan kawan penulis yang mampu memandu dari Kuala Lumpur ke Terengganu dalam masa hanya 3 jam sahaja. Corak pemanduan yang laju, jauh, mengambil masa yang lama dan juga mendaki sebenarnya sangat membebankan semua jenis sistem transmisi. Maka tidak hairanlah jika hanya kebanyakan masalah kebolehtahanan hanya berlaku di negara ini dan tidak berlaku di Thailand, Indonesia, Filipina dan juga negara lain walaupun kesemua unit kenderaan tersebut dihasilkan di kilang yang sama.

Maka tidak hairanlah jenama seperti Honda, Nissan dan Toyota terpaksa menggunakan beberapa bahan yang berkualiti tinggi melebihi piawaian Eropah khas untuk pasaran Malaysia untuk komponen enjin, tranmisi dan juga brek. Jatco iaitu pengeluar komponen transmisi untuk Mitsubishi dan juga Nissan serta Aisin pengeluar transmisi untuk Toyota telah menyedari masalah ini dari awal dan menggunakan bahan yang lebih baik untuk transmisi pasaran Malaysia.

CVT yang dipasarkan 30 tahun dulu juga hadir tanpa bantuan teknologi elektronik dan juga bahan pembuatan yang lebih baik. Sistem Transmission Control Unit TCU yang digunakan akan mempelajari tingkah laku pemandu, memberikan anggaran ratio yang bakal digunakan dan mengawal CVT agar beroperasi dalam parameter yang lebih baik berbanding kawalan mekanikal semata-mata. Bahan yang digunakan untuk membina rantai besi menggunakan kaedah pembuatan dan pembinaan yang jauh lebih baik dan berjaya mengurangkan “rubber band effect”.

Dalam keadaan operasi yang biasa, apabila CVT bekerja secara optima terdapat bunyi yang sedikit pelik dikeluarkan oleh unit CVT semasa kedua-dua takal bekerja dengan mengubahsuai diameter. Jika pemandu tersebut sudah biasa memandu dengan transmisi automatik 4 atau 6 kelajuan, bunyi yang dihasilkan adalah seperti unit automatik tersebut telah rosak dan tersangkut pada mana-mana gear dan gagal untuk bertukar pada gear yang lebih tinggi. Ia sekali lagi memberikan gambaran bahawa transmisi CVT ini sebenarnya sudah rosak walhal ia berfungsi secara optima.

Artikel seterusnya akan merungkai penggunaan “torque converter” dalam transmisi CVT bagi menggantikan sistem klac.

Google ads
Back to top button