Buletin

KIA MALAYSIA MULA HASILKAN CARNIVAL CKD DI KILANG INOKOM KULIM

Kia Malaysia Sdn. Bhd. baru-baru ini mengumumkan bahawa pihaknya telah menghasilkan model pertama Kia hasil kerjasama di antara Kia Corporation dan Bermaz Auto Berhad (BAuto). 

Model MPV Kia Carnival yang dipasang di kilang Inokom di Kulim, Kedah dijadual diperkenalkan tidak lama lagi di pasaran Malaysia. Jentera berkenaan hadir dalam dua varian iaitu tujuh dan lapan tempat duduk. 

Kedua-dua varian itu dikuasakan oleh enjin turbo diesel bersesaran 2.2 liter yang mampu menjana 199hp dan tork 440Nm yang dipadankan bersama kotak gear transmisi automatik lapan kelajuan.  

Kia Carnival dilengkapi dengan pelbagai ciri berteknologi tinggi untuk menawarkan pengalaman mobiliti premium kepada penumpang dan pemandu.

Ini termasuklah tempat duduk ventilasi depan dan belakang, kerusi Premium Relaxion untuk baris kedua yang boleh dibaringkan sepenuhnya, sistem bunyi Bose 12 unit pembesar suara, lampu ambien, skrin infohibur 12.3 inci, pintu gelongsor dan pintu belakang pintar. 

Dri segi keselamatan, MPV itu dipasang dengan ciri Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) yang merangkumi Forward Collision-Avoidance Assist with Junction Turning (FCA), Smart Cruise Control (SCC), Lane Following Assist (LFA), Lane Keeping Assist (LKA), Blind-spot Collision-Avoidance Assist (BCA), High Beam Assist (HBA) dan Safe Exit Assist (SEA).

“Maklum balas pengguna ke atas Kia Carnival 11 tempat duduk yang dilancarkan pada Januari lalu sangat memberangsangkan. Kami yakin model CKD juga akan diterima baik kerana ia mampu memenuhi keperluan dan ekspektasi pelanggan yang mahukan sebuah MPV mewah,” kata Pengarah Urusan Dinamikjaya Motors Sdn. Bhd., Dato’ Wong Kin Foo. 

Kia Malaysia akan meneruskan rancangan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab buat pasaran eksport menerusi beberapa model CKD keluarannya.

Google ads
Back to top button