MAZDA CX-8 AWD 2.5T, SUV 6 TEMPAT DUDUK DENGAN KUASA TURBO
Sebenarnya ini merupakan kali kedua penulis memandu uji Mazda CX-8 tapi kali ini ia dilengkapi dengan enjin berkuasa turbo. Pandu uji kali pertama melibatkan CX-8 dengan enjin 2500cc SkyActiv G yang menjana sekitar 192 kuasa kuda dan 258Nm tork pada 4000 RPM
Namun dengan enjin janaan turbo, kuasa enjin ini melonjak kepada 228 kuasa kuda & 420Nm tork yang menerjah masuk seawal 2000 RPM. Kuasa enjin ini diagih dengan sekata kepada semua tayar melalui sistem Mazda intelligent AWD. Anda tak perlu memilih mode pemanduan samaada 2WD atau AWD kerana ia sudah dikawal sepenuhnya oleh sistem
Jika dipandu dengan santai dan tidak memerlukan sebarang cengkaman tambahan pada permukaan jalan, semua kuasa enjin akan dihantar ke roda depan sekaligus memberikan bacaan bahan api sekitar 12km-13km per liter. Ia sebenarnya satu angka yang sangat mengagumkan bagi sebuah SUV seberat 1896kg.
Tapi jika anda memandu secara agresif dan kekal di lorong kanan lebuh raya dengan halaju yang menyebabkan lampu AES menyala bertalu-talu, maka penggunaan bahan api akan meningkat lantas menjadikan purata bahan api sekitar 9km sahaja bagi setiap seliter petrol.
Mazda CX-8 AWD 2.5 Turbo sebenarnya memerlukan disiplan diri yang sangat tinggi untuk dipandu. Dengan tujahan kuasa yang masuk awal, kawalan stering yang bagus di laluan lurus dan cengkaman yang luar biasa melekat di selekoh menjadikan anda ketagih untuk menekan pedal rapat sambil mengusir kenderaan perlahan keluar dari lorong kanan.
Hujan lebat dan jalan licin langsung tidak menggusarkan penulis sewaktu memandu, melainkan kemampuan tayar jenama Toyo yang pada hemat penulis terasa seperti belut ketika jalan licin. Ketika hujan semakin lebat dan lebuhraya mulai tersumbat, penulis memilih untuk menggunakan jalan persekutuan biasa dari Bidor ke Sungkai
Di lebuhraya dengan kelajuan tinggi atau jalan persekutuan yang basah akibat hujan gagal menggoyahkan cengkaman CX-8. Cuma lampu kabus LED berwarna putih cerah ini tidak membantu langsung ketika hujan. Kalau guna lampu dengan warna oren jauh lebih baik.
Sistem intelligent-AWD selain menghasilkan cengkaman yang bagus antara tayar dan permukaan jalan ketika hari hujan, ia juga akan bekerjasama dengan sistem GVC bagi memastikan agihan kuasa enjin, olengan cesi dan brek tidak mengganggu keselesaan penumpang.
Kuasa enjin diagihkan antara antara roda depan dan belakang melalui kerjasama operasi sistem GVC dan i-AWD. Hasilnya penumpang tidak terasa penat, boleh tidur dengan lena walaupun penulis memandu dengan agak laju di selekoh.
Kuasa brek dihasilkan dengan menggunakan brek cakera pada semua roda, tapi penulis berhajat sekiranya kuasa membrek adalah lebih kuat menggigit berbanding dengan biasa. Namun pada hemat penulis, ia mungkin rekaan yang disengajakan.
Begini, walaupun tork enjin menjangkau 420Nm seawal 2000 RPM anda tidak akan terasa ia menerjah bagaikan sebuah kereta sport. Sebaliknya semua kuasa akan dihantar secara harmoni bagaikan anda memacu sebuah kereta Aspirasi normal yang torknya adalah maksimum pada RPM yang tinggi
Jadi sama seperti prestasi pecutan, kuasa membrek juga dihantar secara linear dan bukanya secara mengejut. Ataupun anda boleh memandu secara tenang dimana pemanduan sebegini akan dihadiahkan dengan kesenyapan dalam kabin, sekitar 59dB sahaja pada kelajuan 110km/jam
Ya anda boleh berkomunikasi dengan jelas dari kusyen pemandu dengan penumpang di barisan ketiga dengan jelas, err mungkin kena bercakap kuat sedikit. Daripada 5 varian yang ditawarkan, 4 varian menawarkan 6 tempat duduk dengan konfigurasi 2+2+2. Hanya varian terendah sahaja menawarkan 7 tempat duduk.
Penulis lebih menghargai varian 2.5 High 2WD yang terasa lebih lapang dengan 6 tempat duduk dan lorong laluan di bahagian tengah tapi sayangnya ia tidak diberikan ciri keselamatan Mazda Safety Sense. Ruang bagasinya pula hanyalah sebesar 209 liter sahaja.
Bagi membesarkan ruang belakang, penulis simpan sahaja coil mat, dan semua pelapik atas bagi membesarkan ruang belakang kepada 232 liter. Malah anda boleh menyimpan kasut atau barangan lain di ruang simpanan tayar kecemasan.
Untuk model 2.5T High Plus yang dipandu oleh penulis, berikut ialah ciri-ciri keselesaan yang ditawarkan pada penumpang:
1. 6 poin USB untuk mengecaj telefon, bermakna setiap penumpang mendapat 1 poin USB
2. Sambungan Apple Car Play / Android Auto dengan sistem Mazda i-Connect
3. Lampu kabin berwarna putih cerah di semua barisan tempat duduk dan satu lagi lampu ruang kargo dipasang di bahagian pintu belakang untuk membantu anda mencari barang pada waktu malam
4. Lampu kabin yang memberi cahaya malam pada waktu malam untuk ruang pemandu dan barisan tempat duduk kedua
5. corong penyaman udara untuk barisan kedua lengkap dengan kawalan suhu, kelajuan angin dan boleh dimatikan
6. Kusyen barisan depan diberikan ciri kipas penyejuk terbina dalam serta pemanas. Bagi kusyen barisan kedua, ia diberikan ciri pemanas sahaja
7. Kusyen barisan pertama dan kedua memang tersangat selesa untuk pemanduan jarak jauh, manakala kusyen barisan belakang kurang selesa sedikit kerana tidak boleh diubah suai sudut penyandar
8. Ciri Head Up Display turut disediakan untuk pemandu dengan memasukkan input sistem amaran titik buta dalam sistem ini. Sistem HUD akan memberikan amaran jika ada motosikal atau kenderaan lain yang memasuki laluan anda tanpa anda perlu melihat cermin sisi
9. Perehat tangan untuk barisan kedua turut disediakan bagi membolehkan anda menyimpan barangan berharga.
10. Meter digital hanya diberikan 2 tona sahaja iaitu tulisan putih terang dengan latar belakang hitam, membantu mengurangkan noise kepada pemandu
Untuk peralatan keselamatan, Mazda CX-8 2.5T AWD diberikan 2 poin ISOFIX pada barisan kedua, 6 beg keselamatan udara, lampu depan dengan teknologi Adaptive Front Light Sistem yang akan memesongkan arah cahaya daripada lampu depan mengikut arah stering
Pakej keselamatan pula dilengkapkan lagi dengan Mazda i-ActivSense yang merangkumi Auto High Beam, sistem amaran titik buta, amaran trafik lintasan belakang, sistem pemanduan adaptif, Driver Attention Alert, Smart City Brake Support di bahagian depan dan belakang serta Smart Brake Support.
Bagi sistem operasi Lane Departure Alert dan Lane Keep Assist, penulis memang akan mematikan sistem ini sepanjang masa kecuali bila memandu di lebuh raya. Tapi walaupun dimatikan sistem ini akan terus memantau pemanduan anda.
Jika anda menukar lorong tanpa memberi isyarat, sistem akan meminta anda berehat seketika. Jadi pastikan anda memandu dengan berhemah, dan menggunakan lampu isyarat walaupun anda telah mematikan sistem Lane Departure Warning.
Oh ya unit yang kami pandu uji ini ialah unit facelift yang menerima beberapa perubahan kecil seperti jeriji terapung rekaan baru ala-ala anyaman tikar buluh, kemasan krom di bahagian bawah bampar depan dan logo Mazda yang rata bagi memuatkan sensor Mazda i-Activesense.
Bagi varian tertinggi iaitu 2.5T High Plus AWD, ia ditawarkan dengan harga sekitar RM 212,225. Bagi varian 2.2 Turbodiesel 2WD pula harganya jauh lebih murah iaitu RM 204,750. Jika anda mahukan varian 2.5 High Plus aspirasi normal harganya ialah RM 197,553.
Kalau anda perlukan sebuah crossover yang luas untuk 6 orang, selesa macam Camry, lebih besar dan senyap dari CX-5, dan berkuasa seperti jentera buatan Jerman maka varian 2.5 Turbo AWD atau 2.2 Turbodiesel ini sesuai untuk anda.