Motosikal

BENELLI TNT25N  2023 KINI DI MALAYSIA. 25.5HP, 3 PILIHAN WARNA, BERMULA RM13K

Benelli Malaysia memperkenalkan model terkini siri TNT terkini iaitu TNT25N ke pasaran tempatan yang hadir dalam tiga warna hitam, merah dan kuning. 

TNT25N dihasilkan khas untuk para peminat motosikal yang inginkan sebuah jenteramudah dikendalikan tetapi berkuasa.

Motosikal itu dikuasakan oleh enjin silinder tunggal, DOHC, 249cc dengan sistem penyejukan cecair. Dipadankan dengan transmisi enam kelajuan, enjin itu mampu menjana kuasa 25.5hp pada 9,250rpm dan tork 21.2Nm pada 8,000rpm.

Model naked itu dilengkapi lampu utama dan lampu penunjuk arah dan lampu belakang LED. Aspek keselamatan diserahkan kepada brek cakera tunggal bersaiz 260mm di hadapan dan cakera 240mm di belakang.

Pengendalian mantap pula disumbang oleh penggunaan suspensi jenis fork terbalik pada roda hadapan. Manakala tayar belakang menggunakan penyerap hentak tunggal untuk menawarkan redaman yang lebih baik. 

Untuk memberikan jarak tunggangan lebih jauh, motosikal itu dilengkapi tangki minyak berkapasiti 13.5 liter. Maklumat tunggangan dipaparkan menerusi panel meter digital yang mudah dibaca. 

Benelli TNT25N sudah boleh didapati di mana-mana pengedar sah Mforce seluruh Malaysia pada harga jualan asas, RM12,998 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan). 

Dengan pembelian motosikal ini, anda boleh menikmati waranti pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan sejauh 20,000km (mana-mana tiba dahulu). Perkhidmatan pembelian alat ganti dalam talian turut disediakan oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.

GALERI

Google ads
Back to top button