Artikel Pilihan

HONDA CIVIC FN2. KISAH TYPE-R YANG TIDAK DIKENALI…

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan mengupas serba sedikit tentang kembar FD2R ini iaitu Honda Civic FN2 Type R atau lebih dikenali dengan FN2R.

Tidak seperti kembarnya yang lahir di Jepun, jentera ini lahir di Swindon, England. Pada artikel lepas, saya ada nyatakan bahawa model ini dianaktirikan. Kenapa ? Kita kupas satu persatu.

Pertama sekali adalah enjinnya. Jentera ini menerima enjin berkod K20Z4 yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 201hp pada 7,800rpm dan daya kilas sebanyak 193Nm pada 6,800rpm.

Jika diimbas kembali, Honda Civic EP3 Type R pasaran Jepun (JDM) dilengkapi dengan enjin berkod K20A yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 212hp pada 8,000rpm dan daya kilas sebanyak 202Nm pada 7,000rpm.

Agak pelik sebenarnya bila model baru lagi lemau dari model lama. Jika dibandingkan dari segi kuasa enjin dengan kembarnya FD2R lagi lah jauh beza. Hahaha.

Namun, bukan saya cakap kereta ni tak laju. Laju juga sebenarnya. Enjin NA dah cecah 200hp bukan senang nak buat. Dengan respon enjin lagi. Sistem i-VTEC jentera ini berfungsi pada 5,400rpm dan ngauman dihadkan pada 8,200rpm. Siapa yang cakap tak laju tu dah cuba try test belum kereta ni ? Siapa bandingkan dengan GT-R mak dia hijau fluorescent.

Kuasa yang dihamburkan oleh enjin seterusnya disalurkan ke kotak gear manual nisbah rapat 6-kelajuan. Nisbah gear bagi sistem transmisi ini adalah seperti berikut :-

  • Gear 1 – 3.266
  • Gear 2 – 2.13
  • Gear 3 – 1.517
  • Gear 4 – 1.147
  • Gear 5 – 0.921
  • Gear 6 – 0.738
  • Gear Gostan – 3.583

Angka diatas menunjukkan yang tiada perubahan dari segi nisbah gear jika dibandingkan dengan model FD2R. Sama saja.

Kawalan kuasa seterusnya diberikan kepada unit Helical LSD. Ni lagi satu, tak semua model FN2R dilengkapi dengan LSD. Untuk model 2007-2009, hanya model terhad yang berwarna Championship White sahaja dilengkapi dengan LSD.

Saya pun tak faham apa masalah mereka ni. Hanya pada bulan Mac 2010 semua model FN2R dilengkapi dengan LSD. Dah hujung-hujung usia baru nak bagi.

Seterusnya adalah sistem suspensi. Sistem suspensi jentera ini menggunakan topang MacPherson di bahagian hadapan dan Torsion Beam di bahagian belakang. Seterusnya jentera ini eh eh ehhhh. Apa ni Honda ? EK9, EP3, FD2R pakai Double Wishbone. Sampai FN2R je pakai Torsion Beam?. Apa yang Honda Jepun jaki sangat dengan Honda UK ni pun tak tahu lah. Haha.

Secara jujurnya, pengendalian FN2R agak terjejas dengan sistem suspensi belakang Torsion Beam ini. Nak taknak pemilik perlu menaik taraf sistem suspensi asal mereka kepada jenama yang lebih baik. Jangan risau, sentiasa ada jalan untuk memperbaiki pengendalian jentera ini.

Menurut Honda, tujuan mereka menukar sistem suspensi daripada Double Wishbone ke Torsion Beam adalah kerana sistem ini lebih ringkas dan ringan. Hmm, nak cerita ringan, model FN2R ini sebenarnya lebih berat dari FD2R. Dah akang-alang cerita berat, di sini saya sertakan dimensi jentera ini.

  • Panjang – 2,620mm
  • Lebar – 4,269.7mm
  • Tinggi – 1,445.3mm
  • Berat – 1,320kg

Berdasarkan angka diatas, jentera FN2R ini adalah lebih tinggi dan berat berbanding kembarnya FD2R. Berbalik pada cerita Torsion Beam, seperti yang saya nyatakan, jika ditala dengan baik, pengendalian akan jadi mantap.

Tak percaya ? Dah lupa ke Proton Iriz yang dipandu Fariqe Hairuman dan Syafiq Ali menang perlumbaan Sepang 1,000km tahun lepas ? Proton Iriz pakai Double Wishbone ke ? Tanya je. Hehe

Kita pergi pula pada rupa. Bagi saya agak eksotik dan unik. Semestinya rupa sebegini mempunyai peminatnya yang tersendiri. Rekaan dalaman pula lebih kurang macam kapal angkasa.

Ada yang suka dan ada yang tidak. Pendapat peribadi saya sendiri, saya cuma sedikit kecewa pihak Honda meletakkan tombol gear di tempat asalnya. Letak lah dekat papan pemuka macam EP3. Dah alang-alang unik tu, kasi habis. Jangan separuh jalan. Haha.

Antara ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada jentera ini adalah Sistem Beg udara dan juga siatem brek dengan bantuan ABS, EBD dan BA. Ciri-ciri tambahan pula adalah seperti “Dual Zone Climate Control”.

Saiz rim dan tayar bagi jentera ini adalah sama dengan FD2R iaitu 225/40R18 bagi keempat-empat tayar dan jenis tayar yang digunakan adalah Bridgestone Potenza RE050A.

Namun, pihak Honda UK menawarkan pilihan rim dan tayar lain kepada bakal pembeli dengan saiz yang lebih besar iaitu 225/35R19 bagi keempat-empat tayar dan jenis tayar yang digunakan adalah Yokohama Advan Sport.

Dari segi penggunaan bahanapi, jentera ini mencatat 9.1 Liter bagi setiap 100km jarak (9.1L/100km). Boleh tahan lah kan. Tangki minyak jentera ini berkapasiti sebanyak 50 liter. Sama seperti model EP3.

Untuk pengetahuan, Honda UK ada mengeluarkan beberapa siri bagi FN2R ini. Siri-siri adalah seperti berikut :-

  • Type R GT
  • Type R Heritage
  • Type R Race

Pasal siri GT dan Heritage macam biasa lah, cuma penambahan ciri-ciri ergonomik seperti sensor hujan, peti sejuk (ni betul ada okay!), cermin sisi elektronik, lampu kabus, sistem audio Bluetooth dan bermacam-macam lagi. Siri Race pula seperti EK9 Motorsport Edition. Semua ciri-ciri ergonomik dibuang. Hasilnya, pengurangan berat sebanyak 40kg. Banyak tu !

Ketika ciri-ciri FN2R ini nampak hambar, namun kelihatan ada sinar dihujungnya. Pihak Honda UK melancarkan 20 unit terhad edisi Mugen. Berita baiknya, ada peningkatan dari segi kuasa dan pengendalian.

Enjin asal K20Z4 ini dinaiktaraf menggunaan komponen dari Mugen beserta talaan. Hasilnya, 237hp pada 8,300rpm dan daya kilas sebanyak 213Nm pada 6,250rpm. Dari segi pengendalian pula, jentera edisi khas Mugen ini direndahkan sebanyak 10mm sekaligus memberikan pemanduan yang lebih yakin dan agresif.

Daripada 20 unit ini, terdapat 4 unit yang menerima enjin bersaiz 2.2L yang mampu menghamburkan 256hp dan daya kilas sebanyak 240Nm. Kuat ni Tuan-Tuan. NA pula tu. Memang berdesup pergi dia.

Namun, berita buruknya jentera FN2R Mugen 2.0L dan 2.2L ini sangat terhad pengeluarannya. Jika dicampurkan hanya 20 unit sahaja. Sedangkan FD2R Mugen RR 300 unit pengeluaran pun sekarang harganya tidak masuk akal, apatah lagi model ini.

Pengeluaran jentera ini dihentikan serentak dengan model FD2R atas alasan tidak mematuhi piawaian emisi. Sama seperti FD2R, jentera ini merupakan jentera terakhir Type R dengan enjin N/A. Jentera Type R selepasnya iaitu FK2R sudah mula menggunakan turbo.

Inilah dia cerita tentang FN2R Tuan-Tuan. Mungkin namanya tidak segah model Type R yang lain, namun jentera ini ada pengikutnya yang tersendiri.

Walaupun Honda Malaysia tidak membawa masuk jentera ini, ia tetap berada di atas jalanraya di Malaysia ini. Terima kasih kepada pengedar kenderaan recon.

Sekarang jika disemak harganya, tidaklah semahal FD2R harga pasarannya. Agak munasabah dan mampu milik. Kalau tak buat yang pelik-pelik bukan Honda namanya. Dan jentera ini jelas merupakan sebuah jentera yang unik. Tidak dapat disangkal lagi.

Google ads
Back to top button