Buletin

KIA K900 – S-CLASS DARI KOREA SELATAN

30 tahun dulu, tak ada siapa pun peduli pasal pembuat kereta dari Korea. Namakan sahaja, Kia? Hyundai? Daewoo? Ssang Yong? Mereka ibarat nyamuk sahaja. Pengeluar kereta lain langsung tidak gusar dengan kereta-kereta yang dihasilkan mereka. 

Namun Kia dan Hyundai percaya tentang penguasaan pasaran. Selain mengukuhkan pasaran domestik di Korea Selatan, mereka fokus kepada pasaran kereta terbesar di dunia, Amerika Syarikat.

BACA: KIA SPORTAGE EX, RM129K 

Selain Spectra dan Sephia yang bergelut mencipta reputasi sukar di Amerika, Kia terus belajar dan belajar. Mereka tidak kedekut melabur berjuta-juta dolar untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan, mendirikan platform di sana dan juga melantik pakar-pakar automotif terkemuka dari Jerman.

Dan sekarang, kumpulan ini lebih besar daripada yang semua orang dijangkakan. Jualan tahunan mereka melebihi sesetengah jenama Jepun. Penerimaan baik mereka di Amerika adalah kemuncak kejayaan yang membuatkan mereka lebih fokus dalam menghasilkan produk lebih premium.

Jika Hyundai ada Genesis, Kia muncul dengan K900. Tanpa berselindung lagi, Kia mahu mencuri sedikit pasaran sedan mewah bersaiz penuh.

Model ini akan dipamerkan di Pameran Auto New York tidak lama lagi dan seperti yang dijangka oleh pengamal media automotif, ia bakal menjadi tarikan baru untuk segmen sedan mewah.

Ia cukup besar, malah dengan jarak roda 3105mm, ia lebih panjang dari sebuah Mercedes S-Class. Dari segi rekaannya pula, ia adalah gabungan citarasa Timur dan Amerika yang dibentuk menerusi studio rekaan di Amerika dan juga Korea Selatan.

Bahagian hadapannya dikemaskan dengan kilauan umpama emas dengan rekaan kekotak berbentul sel. Kedua lampu hadapannya menggunakan LED dan kemasan-kemasan krom menjadikannya tampak mewah dan eksklusif.

Bahagian dalamannya menerima sentuhan premium menerusi penggunaan kulit, kayu dan juga aluminium. Ia dipasangkan dengan sistem infotainmen dan skrin 12.3 inci. Kemudian, ambien dalamannya diserikan dengan lampu suram dengan 64 talaan warna berasingan yang dibangunkan oleh Institut Warna Pantone. 

Ketelitian juga diberikan pada setiap inci bahagian kabin. Jamnya menggunakan khidmat pembuat jam terkemuka Switzerland, Maurice Lacroix.

Spesifikasi enjinnya belum didedahkan. Namun jika mengikut kepada model terdahulu, K900 dilengkapi enjin paling kecil 3.8 liter V6 yang menghasilkan 311hp. 

Turut ditawarkan ialah enjin V8, 5.0 liter yang menghamburkan sejumlah 420 kuasa kuda.

 

 

Kejam kan?

Sementara itu di Malaysia kita masih gembira sekadar mendapat Picanto.

Stinger mana Stinger?

 

Google ads
Back to top button