
KIA OPTIMA K5
Semalam, pengedar kenderaan jenama Kia di Malaysia, Naza Kia Malaysia (Naza Kia) melancarkan model sedan segmen D yang sudah lama ditunggu-tunggu, Kia Optima K5.
Sebagaimana diketahui, Kia Optima K5 sebelum ini memang menerima sambutan hangat, berikutan cirinya yang mengatasi pesaing sekelasnya. Maka, tidak hairanlah jika ia menjadi model yang tidak sukar untuk dijual oleh Naza Kia.
Naza Kia menyifatkan model terbaharu itu sebagai ‘Pengubah Permainan’ (Game Changer) kerana Kia Optima K5 menerima kira-kira 25 penambahbaikan baharu. Harus tahu bahawa ia hanya merupakan model facelift, bukannya model baharu sepenuhnya.
Berbanding model sebelumnya, sedan tersebut ditawarkan pada harga RM149,888 (di atas jalan termasuk insurans). Harga itu dilihat cukup kompetitif jika dibandingkan dengan model pesaing lain seperti Honda Accord, Toyota Camry, Hyundai Sonata dan Nissan Teana. Oh ya, ia juga hadir bersama jaminan selama lim tahun tanpa had perbatuan.
Sedan yang meneruskan hala tuju rekaan moden Kia itu disasarkan untuk golongan berusia bawah 40 tahun. Mula diperkenalkan kepada umum pada acara New York International Auto Show 2013, Kia Optima K5 menambah baik penampilannya yang sudah sedia menarik perhatian.
Dari segi luaran, perubahan ketara yang dapat dilihat adalah penggunaan empat unit lampu DRL pada kedua-dua belah sisi bampar hadapan yang baru. Bahagian belakang pula diserlahkan menerusi bampar dan lampu baharu, di samping diffuser dan rekaan trunk lid yang tajam.
Pembaharuan sebenar terletak di dalam ruang kabin. Banyak sekali peningkatan yang diterimanya. Antaranya ialah struktur tempat duduk yang telah direka semula, upholsteri kulit dan kluster instrumen dengan skrin LCD TFT bersaiz 4.3 inci lengkap bersama kamera undur.
Kedua-dua tempat duduk hadapan itu juga didatangkan dengan ciri ventilasi yang berfungsi menyalurkan udara sejuk pada permukaan tempat duduk demi keselesaan penggunanya.
Keseronokan berada di dalam kabin terus ditingkatkan melalui sistem audio yang disokong oleh lapan unit pembesar suara Infinity, pemain CD, fungsi Bluetooth serta ketersambungan AUX, USB dan iPod.
Selaku model pertama Kia yang dilengkapi ciri Drive Mode Select pada stereng, sistem tersebut berfungsi menukar pemasaan penukaran gear, pemetaan pendikit dan berat stereng kepada tiga mode iaitu Normal, Eco dan Sport.
Ciri-ciri premium lain yang ditampilkan kepada Kia Optima K5 ialah Electronic Parking Brake, tempat duduk kuasa, penggilap cermin automatik dan bumbung panoramik.
Dari segi mekanikal, sedan ini masih menggunakan enjin CVVL NU bersesaran 2.0 liter berkuasa 165PS dan tork maksimum 198Nm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan.
Mahu menjadi antara kenderaan paling selamat, Kia Optima K5 dilengkapi banyak ciri keselamatan seperti enam beg udara, Electronic Stability Control (ESC), EBD, ABS, Traction Control System (TCS), Brake Assist System (BAS), sistem bantuan parkir empat penjuru, Vehicle Stability Management (VSM) dan banyak lagi.
Dengan semua ini, tidak hairanlah jika Kia Optima K5 mendapat penarafan lima bintang dalam ujian keselamatan NHTSA di Amerika Syarikat.
“Bagi tahun 2014, kami mensasarkan untuk meningkatkan volum jualan kepada 15,670 unit. Pastinya, Kia Optima K5 akan memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran tersebut,” kata Pengurus Besar Operasi Naza Kia, Roshdy Hassan.
Kia Optima K5 ditawarkan dalam empat warna menarik iaitu putih, kelabu, hitam dan biru.
Pada majlis sama, Naza Kia turut melancarkan kempen Kia World Cup Rocks with Kia. Kempen itu diadakan kerana Kia Motors ialah rakan rasmi Piala Dunia FIFA 2014 yang akan berlangsung di Brazil.
Justeru, Naza Kia menganjurkan pelbagai aktiviti menarik seperti Fuleco Friend Search, pertandingan futsal Champ to Rio, siri jelajah Piala Dunia FIFA 2014 dan Cheer with Kia.
Para pemenang aktiviti tersebut bakal menerima pakej untuk menyaksikan perlawanan Piala Dunia di Brazil. Sementara juara pertandingan futsal Champ to Rio akan mewakili Malaysia untuk bersaing di pentas akhir Fusal dunia di Brazil. Jadi, tunggu apa lagi?
[hr]GALERI