
PROTON SUPRIMA S SUPER PREMIUM
Proton semalam menambah satu lagi varian model sporty hatchback premium, dikenali sebagai Suprima S Super Premium.
Pengenalan itu dibuat pada Karnival Jualan Proton yang berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC), Melaka bermula semalam hingga hari ini.
Proton menyifatkan Suprima S Super Premium sebagai model paling komprehensif dari segi prestasi, gaya, keselamatan, dinamik pemanduan dan sofistikasinya. Varian itu dijangka dapat menarik minat golongan yang mahukan sebuah Suprima S yang berbeza dan lebih sporty.
Model tersebut dilengkapi oleh rim ringan bersaiz 17 inci, bodykit R3 dengan kemasan belakang baharu, skirt hadapan dan sisi serta emblem R3 pada skirt sisinya. Aspek mekanikalnya bagaimanapun tidak diusik.
Suprima S Super Premium masih menggunakan khidmat enjin bersesaran 1.6 liter turbo yang dipadankan dengan kotak gear CVT ProTronic tujuh kelajuan. Dikatakan memiliki kuasa seperti enjin 2.0 liter aspirasi biasa, enjin itu mampu menghasilkan kuasa sehingga 140PS @ 4,000rpm dan tork puncak 205Nm @ 2,000 – 4,000rpm.
Dinamik pemanduan jentera tersebut ditingkatkan menerusi jaminan pengendalian Lotus. Ia juga sebuah hatchback yang tidak berkompromi dengan aspek keselamatan apabila menerima penarafan lima bintang oleh ANCAP.
Antara faktor yang menyumbang kepada penarafan tersebut adalah aplikasi teknologi Hot Press Forming (HPF) ketika membentuk kerangkanya. Di samping enam beg udara, ciri Hill-Hold Assist, ESC dengan Brake Assist, Traction Contol dan brek ABS bersama EBD.
Ciri lain yang turut ada pada Suprima S Super Premium ialah tempat duduk kulit, kamera undur, butang Push Start, paddle shifter, auto cruise dan banyak lagi.
Dengan semua penambahbaikan itu, Suprima S Super Premium ditawarkan pada harga RM87,929 seunit. Varian Suprima S sebelum ini berharga bermula RM76,688 seunit (Proton Suprima S 1.6 Executive metalik).
“Ini satu pembelian yang berbaloi kerana pembeli tidak perlu membeli aksesori R3 secara berasingan. Lagi pun, kos itu boleh diserap ke dalam pakej pembiayaan daripada bank.
“Bagi yang membeli Suprima S Super Premium pada Karnival Jualan Proton di MITC, mereka juga layak menerima diskaun atau angpow berjumlah RM1,888!” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Lukman Ibrahim.