Buletin

KIA PERKENAL SIRI PBV, EV PELBAGAI GUNA, BOLEH JADI TEKSI DAN VAN HANTAR BARANG!

Kia memperkenalkan Platform Beyond Vehicle (PBV) di Pameran Elektronik Pengguna (CES) 2024 di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS).

Di dalam siri kenderaan tersebut, terdapat tiga model utama yang dirancang dengan fasa pertama dimulakan PV5 seterusnya disusuli PV1 dan PV7 pada fasa kedua. 

PBV Kia dibangunkan untuk menjadi penyelesaian pengangkutan menyeluruh yang menggabungkan kenderaan elektrik (EV) yang disesuaikan untuk kegunaan (fit-for-purpose).

Satu lagi komponen gabungan ialah perisian penyelesaian canggih berasaskan software-to-everything (SDx) Hyundai Motor Group.

PV5 dibangunkan sebagai EV versatil yang dioptimumkan untuk kegunaan utama seperti khidmat panggilan (hailing), penghantaran dan kemudahan.

Pada masa depan, Kia turut merancang untuk menawarkan pelbagai varian seperti model Asas, Van, Bumbung Tinggi dan Chassis Cab.

Kia juga merancang untuk memperkenalkan Robotaxi yang dibangunkan bersama Motional (usaha sama HMG dan Aptiv) dan mengubah pengalaman khidmat panggil berautonomi.

Strategi reka bentuk Kia ialah dengan menggunakan casis tunggal untuk memenuhi pelbagai keperluan pengangkutan.

Pelbagai jenis badan boleh ganti atau dipanggil life modules dapat dipasang pada bahagian belakang pemandu melalui teknologi elektromagnetik hibrid dan sambungan mekanikal.

Sebagai contoh, PBV digunakan sebagai teksi pada siang hari dan bertukar kepada van penghantaran atau kenderaan rekreasi pada hujung minggu.

Menjadi kenderaan pelbagai kegunaan, PV direka ringkas namun kelihatan futuristik. Bukaan pintu yang luas memudahkan keluar dan masuk.

Jarak roda yang dipanjangkan dan pelantar elektrik memberikan ruang dalaman yang lebar, rata dan terbuka untuk barangan dan pelbagai kegunaan.

Perancangan fasa kedua pula melibatkan pengenalan kesemua siri model PBV khusus dan bertukar kepada platform pengangkutan berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Kenderaan tersebut mengunakan data bagi berhubung dengan pengguna dan kenderaan sentiasa dikemas kini.

Model PBV fasa kedua:

  • PV7 – Model paling besar dalam siri PBV, direka dengan ruang dalaman lebih luas, jarak pemanduan jauh dan kefungsian yang lebih baik.
  • PV1 – Model paling kecil, direka untuk pengangkutan jarak pendek. Menggunakan modul pemanduan untuk meminimumkan jarak pusingan di ruang sempit.
  • Kemodularan (modularity) PBV – Sistem rel bersepadu pada siling, lantai, panel sisi kenderaan dan bahagian luar untuk pengubahsuaian mengikut keperluan pelanggan. Membolehkan pemindahan barang di antara kenderaan dengan lancar.

Di dalam fasa tiga, PBV Kia dijangka menjadi sebuah penyelesaian pengangkutan boleh suai tinggi dengan menyepadukan ekosistem pengangkutan masa depan.

Bagi memenuhi pelbagai permintaan pelanggan, Kia membangunkan kilang khusus untuk PBV di Autoland Hwaseong, Korea dan dijadual untuk beroperasi pada 2025.

Kilang dengan kapasiti tahunan 150,000 unit itu menggunakan kaedah pengeluaran kacukan iaitu penyampai (conveyor) dan berasaskan sel (berkumpulan).

Google ads
Back to top button