Buletin

KIA PERLIHAT SUV NIRO GENERASI BARU – REKAAN LEBIH RADIKAL

Bersempena dengan Seoul Mobility Show 2021 yang sedang berlangsung, Kia melancarkan generasi kedua SUV Kia Niro 2023 sebagai penambahan kepada segmen SUV yang sudah tersedia padat itu.

Sejak generasi pertama dilancarkan, Kia mensasarkan Niro sebagai sebuah kenderaan yang memfokuskan kepada trenkuasa bantuan elektrik (hibrid dan EV) dan penawaran itu turut diteruskan pada model baharu ini.

Membawakan rujukan daripada model konsep HabaNiro 2019, Kia Niro 2023 turut menampilkan bahasa rekaan ‘Opposites United’ yang mengambil inspirasi daripada alam sekitar.

Namun, Kia juga turut sedaya upaya cuba untuk mengekalkan identiti ‘Tiger Face’ pada model Niro terbaharu ini, dengan pendekatan yang lebih radikal.

Dari sudut hadapan, Kia Niro menampilkan rekaan unit lampu bersepadu dengan unit grafik DRL yang agak tajam, serta ‘hidung harimau’ yang lebih nipis melintangi bahagian tersebut.

Sementara bahagian sisi pula menerapkan rekaan kontras pada tiang C, dan diakhiri dengan posisi lampu belakang menegak seakan sebahagian daripada rekaan ‘tiang’ itu tadi.

Masuk ke dalam ruang kabin, Kia membawakan pendekatan berorientasikan pemandu, dimulakan dengan posisi skrin yang dihalakan ke arah pemandu, susun atur yang lebih ringkas, diikuti dengan konsol tengah yang menampilkan tombol penukaran gear jenis rotari.

Untuk ruang dalaman ini, Kia memilih untuk menggunakan bahan kitar semula seperti contoh alas bumbung daripada kertas kitar semula, tempat duduk daripada bio PU with Tencel daripada dedaun eucalypts, serta penggunaan cat bebas bahan kimia berbahaya.

Untuk generasi baharu, Kia Niro boleh didapati dalam penawaran trenkuasa hibrid elektrik (HEV), plug-in hybrid (PHEV) dan juga EV, serta tambahan mod baharu yang dinamakan sebagai Greenzone Drive Mode.

Dengan mod ini, sistem akan menukarkan mod pemanduan semasa kepada mod elektrik sepenuhnya apabila kenderaan memasuki kawasan yang dikenalpasti sebagai zon hijau, selain didatangkan dengan fungsi memori lokasi kegemaran.

Perincian untuk setiap penawaran trenkuasa masih lagi belum didedahkan.

Google ads
Back to top button