Buletin

KIA SELTOS 2024 – 2 PILIHAN ENJIN, 195HP, REKAAN LEBIH MANTAP, BERMULA RM107K

Kia kini mendedahkan Kia Seltos 2024 yang bakal tiba di pasaran Amerika Syarikat pada harga bermula AS$24,390 (RM107,386), lebih mahal berbanding Seltos facelift 2023 iaitu AS$22,840 (RM100,562).

Harga tersebut sebenarnya padan dengan penambahan ciri-ciri terkini yang mampu menarik perhatian pelanggan sedia ada mahupun baharu.

SELTOS LX AWD.

Seltos LX AWD peringkat permulaan tidak mengalami perubahan ketara, selain cermin depan laminasi akustik, menggunakan kaca privasi serta didatangkan dengan rim aloi bersaiz 17-inci berwarna kelabu gelap.

Di bahagian dalam, ia menampilkan paparan 4.2-inci serta sistem infotainmen 8-inci dengan ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay.

Perincian lain terdiri daripada sistem audio dengan enam unit pembesar suara, keyless immobilizer, sementara stereng menggunakan material poliuretana.

Beralih kepada sistem keselamatan, model itu dilengkapi ciri Bantuan Kekal Lorong, Amaran Berlepas Lorong, Bantuan Mengelak Perlanggaran Hadapan dan Bantuan Pancaran Tinggi.

Dari segi kuasa, Seltos LX AWD dipacu enjin empat silinder 2.0 liter yang menghasilkan kuasa 146hp dan tork 179Nm yang digandingkan dengan transmisi CVT.

SELTOS S.

Kia Seltos S hadir dalam dua versi iaitu FWD dan AWD. Bagi FWD, ia dijual pada harga AS$24,990 (RM110,028), manakala versi AWD boleh dimiliki bermula AS$26,490 (RM116,632).

Penampilan luar Seltos S tampil lebih mewah terutama adanya lampu nyalaan siang LED serta LED “Star Map” pada gril.

Sudah pasti model ini menerima perincian lebih baik berbanding Seltos LX AWD. Ia disertakan dengan kluster instrumen digital 10.25 inci, selain sistem infotainmen 10.25-inci dan navigasi GPS.

Ciri menarik lain dalam kabin Kia Seltos S termasuklah sistem kawalan suhu automatik, push start button, stereng dibalut kulit dan tempat duduk menggunakan kulit tiruan SynTex.

Selain itu, sistem bantuan pemandu tambahan terdapat di Kia Seltos S adalah seperti Amaran Perlanggaran Titik Buta, Amaran Keluar Selamat dan Bantuan Mengelak Perlanggaran Belakang.

SELTOS EX

Varian seterusnya ialah Seltos EX yang diserlahkan dengan rim aloi 17-inci. Seltos EX bagaimanapun tidak menerima penambahan bahagian dalam begitu ketara.

Tetapi ia dilengkapi ciri pemanas pada tempat duduk hadapan, upholsteri SynTex dan tempat duduk larasan berkuasa 10-hala dengan sokongan lumbar.

Harga? Kia Seltos EX boleh dimiliki pada harga bermula AS$25,790 (RM113,550) atau AS$27,990 (RM123,237) bagi versi AWD.

SELTOS X-LINE AWD

Seterusnya ialah Kia Seltos X-Line AWD yang mempunyai gril unik, rugged door garnish serta rim aloi bersaiz 18-inci.

Di bahagian dalam, model ini mendapat kemasan sama seperti trim S tetapi ia akan disertakan dengan tempat duduk SynTex yang dipanaskan di hadapan, sistem audio Bose 8 pembesar suara dan cermin pandang belakang elektronomik.

Kia Seltos X-Line AWD hadir bersama sistem bantuan pemandu tambahan. Antaranya Bantuan Pemanduan Lebuhraya dan Kawalan Pelayaran Pintar dengan fungsi Stop and Go, Bantuan Had Kelajuan Pintar serta Bantuan Elak Perlanggaran Hadapan.

Secara mekanikal, Seltos X-Line AWD dikuasakan enjin empat silinder 1.6 liter pengecas turbo, berupaya menghamburkan kuasa 195hp, tork 264Nm dan digandingkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.

Bagi Seltos X-Line AWD, ia dijual pada harga bermula AS$29,900 (RM131,646) di pasaran A.S.

GALERI:

Google ads
Back to top button