Buletin

KIA EV9 BAKAL BERADA DI PASARAN KOREA Q2 2023. PLATFORM E-GMP, 380HP, 15 MINIT CAJ DAPAT JARAK SEJAUH 239KM

Pengeluar dari Korea Selatan, Kia akhirnya melancarkan EV9 secara rasmi, sebuah SUV elektrik 7 tempat duduk.

Menggunakan platform e-GMP Hyundai Motor Group, Kia EV9 mempunyai dimensi 4,903mm, lebar 2,055mm, tinggi 1,790mm dan jarak roda sekitar 3,100 mm.

Menurut Kia, EV9 menampilkan penutup bawah badan berukir 3D pertama untuk memberikan aliran udara serta kecekapan lebih baik.

Kia EV9 tampil mewah dengan falsafah rekaan ‘Opposites United’ terutama pada bahagian hadapan dengan rekaan Digital Tiger Face. Ia digabungkan dengan lampu utama menegak, cermin sisi konvensional dan lampu nyalaan siang DRL (LED).

Manakala rekaan lampu belakang pula hampir sama seperti model konsep, selain kehadiran spoiler besar.

Tampil futuristik, Kia EV9 diserlahkan dengan rim empat jejari dua tona yang mempunyai reka bentuk aerodinamik.

Di ruang kabin, EV9 dilengkapi skrin sentuh bersaiz 12.3 inci serta paparan lima inci untuk mengawal fungsi kenderaan, selain terdapat pelbagai butang digital di bahagian sistem infotainmen.

Di bahagian penumpang, ia disertakan dengan pemegang cawan dan port pengecasan USB. Manakala tempat duduk baris kedua boleh diputar 180 darjah untuk menghadap tempat duduk baris ketiga.

Sama seperti EV Hyundai atau Kia yang lain, EV9 menggunakan seni bina elektrik 800V, sekali gus membolehkan pengecasan ultra pantas. Kia mendakwa EV9 mempunyai jarak gerak sejauh 239km dengan hanya 15 minit pengecasan.

Sama seperti EV6, EV9 juga menyokong Vehicle-to-Load (V2L) 3.68kW.

Beralih kepada kuasa, SUV EV9 ditawarkan dalam pacuan roda belakang motor tunggal (RWD) dan model pacuan semua roda (AWD) dwi-motor. Model RWD standard mendapat bateri 76.1kWj manakala varian Long Range RWD dan AWD dibekalkan bateri berkapasiti 99.8kWj.

Bagi varian Long Range RWD, ia berupaya menghasilkan kuasa 201hp dan tork 350Nm. Sementara varian RWD standard berkuasa 215hp.

Varian AWD pula mempunyai kuasa output 380hp dan tork 600Nm yang membuatkannya lebih pantas berbanding BMW iX xDrive 40 lima tempat duduk.

Dari segi keselamatan, EV9 menawarkan ciri sistem bantuan pemandu lanjutan seperti  Blind-Spot-Collision-Avoidance Assist (BCA), Lane Keeping Assist (LKA), Navigation-based Smart Cruise Control (NSCC) dan Highway Driving Assist 2 (HDA 2).

Perincian ciri keselamatan lain termasuklah Rear Cross-Traffic Collision Avoidance (RCCA) dan Parking Collision-Avoidance Assist (PCA) dan 10 beg udara.

Untuk rekod, EV9 merupakan model Kia pertama menggunakan Digital Key 2. Fungsi itu membolehkan anda membuka kunci kenderaan melalui telefon pintar.

Menerusi kenyataan dari Kia, EV9 akan tersedia untuk pra-pesanan di pasaran Korea pada suku kedua 2023, sebelum dijual di pasaran global terpilih bermula separuh kedua 2023.

Google ads
Back to top button