Buletin

KIA NIRO MENANG ANUGERAH WOMEN’S WORLD CAR OF THE YEAR 2023

Seramai 63 orang wartawan permotoran wanita daripada 43 buah negara sepakat memilih model SUV Kia Niro untuk meraih anugerah Women’s World Car of the Year 2023, bersempena dengan Hari Wanita Sedunia yang disambut baru-baru ini.

Difahamkan, Kia Niro merupakan antara finalis World’s Best Car 2023 di mana model tersebut bersaing dengan Audi RS3, Citroen C5 X, Ford Ranger, Jeep Avenger dan Nissan X-Trail – kesemua model tersebut mewakili kategori yang spesifik.

Menurut presiden eksekutif WWCOTY, Marta Garcia berkata, “pemilihan model terbaik tahun ini agak sukar disebabkan masing-masing mempunyai tahap kecemerlangan yang tersendiri.

Seorang jurnalis dari Amerika Syarikat Elana Scherr berkata Kia Niro merupakan sebuah pakej yang lengkap, sementara Renuka Kirpalani dari India menjelaskan Kia Niro merupakan sebuah kereta bandar yang praktikal dan menawarkan ciri yang diperlukan dalam pakej yang berpatutan.

Kia Niro generasi baharu muncul pada lewat tahun 2021 dengan membawakan inspirasi rekaan daripada model konsep Habaniro 2019.

Bergantung kepada pasaran, Kia Niro boleh dipilih dalam versi hibrid, plug-in hybrid atau trenkuasa elektrik sepenuh masa.

Tahun lepas, seramai 58 jurnalis wanita daripada 40 buah negara memilih Peugeot 308 sebagai pemenang anugerah Women’s Car of The Year.

Google ads
Back to top button