Artikel Pilihan

KISAH SI LEED PART 3 – DARI TANAH ARAB KE TANAH MELAKA

Pembaca Mekanika barangkali mungkin pernah mendengar tentang nama si Leed ini. Kenalan BK yang juga kawan lama Abg Japar. Sebenarnya si Leed ini boleh tahan popular juga di kalangan geng Honda Type R, dek kerana kekerapan beliau berurusan dalam proses jual beli parts FD2R ori.

Sebenarnya si Leed ini baru sahaja pulang dari Tanah Arab, kali ini beliau bukan lagi pulang untuk bercuti seperti kelazimannya. Back for good orang putih kata. Beliau telah mula berazam untuk melepaskan jawatan dan gaji sedap setelah bertahun tahun lamanya berbakti di Rabigh, Arab Saudi. Cumanya kepulangan beliau sedikit tertangguh dek kerana Pandemik Covid 19 ini.

Leed yang BK temui sewaktu cuti Raya Haji tempohari, menyatakan sememangnya plan asal untuk kembali bekerja di Malaysia, namun entah mana tiba – tiba boleh pula timbul idea untuk menjadikan LeedFD Garage ini suatu realiti. Kedai yang disewakan ini juga asalnya lebih kepada niat beliau untuk sekadar menjadikan stor penyimpanan koleksi kereta beliau yang semakin banyak. Kalau tak ada aral melintang, LeedFD Garage ini bakal menjadi kedai aksesori kereta yang eksklusif dan bukannya tipikal kedai kedai aksesori kereta yang biasa biasa.

Sewaktu BK bertemu dengan beliau, kerja kerja kemasan masih lagi sedang berlangsung. Katanya ada beberapa lagi seperti ciri keselamatan meliputi Sistem Penggera dan juga CCTV yang menunggu proses pemasangan. Boleh tahan mahal juga kata beliau untuk mendapatkan sistem keselamatan yang komprehensif sebegini. Entahlah. Kalau ikut BK, suruh beliau bela barang seekor dua jin aja. Tak adalah mahal sangat. Cuma kena standby pulut kuning sama ayam seekor sahajalah agaknya.

Jelas sekali beberapa barangan seperti deretan rim sudah mula memasuki ruangan dalaman. Yang pasti, rim yang ditawarkan harga mampu milik (jangan tanya cap ayam ke cap itik) seperti TE37, RE30 dan juga CE28. Serba baharu. Kalau yang berhajat mendapatkan rim ori juga boleh merisik terus dengan beliau. Sebab koleksi rim ori beliau juga penuh dalam simpanan peribadi. Mungkin kena dengan harga, beliau tak ada masalah untuk melepaskannya. Barang aksesori seperti pelekat ori Ralliart dari Jepun pun turut ada dijual buat masa ini.

Dan selepas kedainya siap proses pengubahsuaian, sudah pasti lebih banyak barangan yang rare bakal masuk. Paling menarik, sesiapa yang berhajat memasuki ruangan kedai beliau, kena buka kasut. Selipar untuk dipakai turut disediakan. Tunggu nak pasang karpet lepas ni. Barulah ruang dalaman kedai terasa kemas dan selesa. Dan perkara itu BK tidak hairan, kerana mengenali Leed, beliau sememangnya cukup teliti dalam segenap aspek, terutamanya bab kebersihan. Tahukah juga bahawa selama ini beliau banyak menyimpan parts FD2R berserta dengan koleksi rim hanya dalam rumah sahaja. Bersih dan kemas. Kuman pun tak berani nak lekat.

Oh ya, Proton Satria GTi yang berada dalam kawasan kedai / garaj ini sebenarnya baru juga si Leed ini beli sebaik sahaja selesai tempoh kuarantin wajib 14 hari itu hari. Proton Satria 1.3 convert enjin 1.5 dengan kit badan GTi ori telah pun beliau lepaskan dengan berat hati. Katanya nak merasa kesedapan ‘badan’ ori sebuah GTi pula.

Haih, macam – macam la Si Leed ni punya perangai. Dan tahukah beliau kini sedang dalam proses menyiapkan sebuah Mercedes 190E Evo II pula. Katanya menjelang September nanti dah boleh siap sepenuhnya. Jika ada yang bertanya, bini tak marahkah asyik main kereta tak sudah. Jawapannya mudah. Si Leed telah menghadiahkan sebuah kereta sport kepada isteri tercinta beliau. Tu yang warna merah menyala. Balik beraya di Johor pun si Leed ni pandu si Merah. Laju. Katanya, standby nak bayar duit saman speed trap aja lepas ni.

Oh ya, buat kawan kawan semua, bolehlah merujuk ke page beliau. Cari sahaja kata kunci Leedfdgarage. Kedai / garaj beliau ini beroperasi di kawasan Tangga Batu. Bolehlah pergi jenguk. Kata sokong BMF kan.

BACA : KISAH SI LEED PART 2 – EVO 9 WAGON PULA

BACA : KISAH SI LEED – PENCINTA HONDA

Google ads
Back to top button