
KITARAN ENJIN OTTO VS KITARAN ENJIN ATKINSON
Maaf topik hari ini berat sikit untuk dihadam disebabkan ia melibatkan penerangan teknikal. Artikel ini khas untuk menjawab soalan pembaca artikel Mazda yang bertanyakan apakah maksud kitaran enjin Otto dan bagaimana ia berbeza dengan kitaran enjin Atkinson. Jadi sebagai permulaan kami terangkan maksud kitaran dalam penerangan ringkas dan mudah difahami.
Dalam bahasa Inggeris, kitaran disebut sebagai Cycle. Ia digunakan untuk menerangkan apa yang terjadi pada udara yang disedut masuk dalam enjin 4 lejang pembakaran dalam petrol. Asas operasi enjin ialah lejang ambilan udara, lejang mampatan, lejang kuasa dan lejang ekzos. Dalam proses ini udara dipaksa masuk dalam silinder enjin, dicampur dengan petrol dan dimampatkan, udara tadi meletup dan akhirnya udara yang bertukar tadi dikeluarkan sebagai asap.
Jadi kitaran atau Cycle ini menerangkan apa sebenarnya terjadi pada udara dalam 4 lejang semasa operasi enjin. Udara tersebut diberi haba, tekanan, mengalami perubahan suhu, dan juga isipadu semasa beroperasi. Terdapat 2 cara yang digunakan bagi menerangkan apa yang berlaku yang terbahagi kepada 2 iaitu Kitaran Otto dan Kitaran Atkinson

Kitaran Otto ini diperkenalkan oleh jurutera Jerman yang bernama Nicolaus Otto pada tahun 1876 selepas 14 tahun dalam proses kajian dan pembangunan. Enjin ini diadaptasi oleh Gottlieb Daimler bagi kegunaan kereta buatan mereka. Dalam enjin Otto, isipadu gas atau udara semasa operasi sentiasa sama.
Sebagai contoh jika enjin 4 silinder 1500 beroperasi dalam operasi Otto, isipadu campuran udara dan petrol kekal pada 375cc per silinder. Ini bermakna semasa ambilan udara, 375 cc udara disedut masuk, dicampur dengan petrol, dimampatkan, dibakar dan dibebas keluar sebagai asap ekzos. Kelebihan kitaran Otto ialah ia menghasilkan kuasa yang cukup pada satu kitaran lengkap.
Kitaran Arkinson pula diperkenalkan oleh James Atkinson, seorang jurutera British pada tahun pada tahun 1882 dengan menekankan konsep kecekapan enjin tapi dengan mengorbankan kuasa enjin. Ini bermakna enjin Atkinson sentiasa lebih cekap, lebih jimat tapi kurang power berbanding dengan kitaran Otto
Masalahnya dulu enjin Atkinson ni komplikated, lagi rumit dari hati bini anda. Tapi dalam teknologi moden, kitaran enjin Atkinson boleh ditiru oleh enjin dengan mengubah pemasaan injap ketika proses mampatan. Dengan mengambil contoh yang sama, sebuah enjin 4 silinder 1500cc memiliki 375cc per silinder. Ketika proses ambilan, enjin akan menyedut 375cc udara untuk dibakar dengan petrol.
Tapi ketika kitaran Atkinson beroperasi, injap kemasukan akan dibiarkan terbuka seketika sebelum ditutup menjadikan isipadu udara dan petrol yang dimampatkan kurang daripda 375cc. Proses ini kawalan injap ini dikawal dengan ECU melalui sistem VVT. Apabila kitaran Atkinson beroperasi, lejang mampatan menjadi kurang daripada 375cc, namun lejang kuasa kekal pada 375cc.

Proses membuka injap kemasukan ketika lejang mampatan juga mengurangkan pumping lost pada enjin, menjadikan enjin lebih cekap ketika beroperasi. Malah lejang kuasa kekal pada 375cc menjadikannya lebih besar daripada lejang kemasukan. Keadaan ini menjadikan enjin Atkinson lebih cekap tenaga ketika beroperasi.
Prinsip asas kitaran Atkinson ialah mengurangkan isipadu udara dan petrol ketika mampatan, menghasilkan lejang kuasa yang lebih besar berbanding dengan lejang mampatan, dan hasilnya kecekapan enjin bertambah. Jika pemandu memerlukan lebih kuasa, ECU akan menukar pemasaan injap dan enjin akan beroperasi pada kitaran Otto semula
Penulis sertakan di sini satu video yang dihasilkan oleh Toyota Kanada bagi memudahkan pemahaman pembaca.