Buletin

HARRIER TERLAJAK LAKU, 45K DALAM 1 BULAN!

Toyota Harrier merupakan SUV yang cemerlang buat syarikat dari Jepun itu. Generasi pertama dijual di Jepun sejak Disember 1997 dan dieksport ke luar negara sebagai Lexus RX sebelum kedua-duanya dipisahkan dengan model tersendiri pada generasi ketiga.

Ketiga-tiga generasi Harrier membawa aras kemewahan tersendiri dengan gaya elegan berbanding utilitarian. 

Harrier kini memasuki generasi keempat dan mula dijual di Jepun pada 17 Jun 2020. Di pasaran yang terkenal dengan kereta kecil atau kei-car, ternyata Harrier kekal menarik perhatian dengan angka tempahan ini.

Kira-kira 45,000 unit Harrier ditempah setakat 16 Julai 2020 dan menariknya oleh pelbagai usia pelanggan.

Jumlah itu jauh melepasi sasaran Toyota sebanyak 3,100 unit sebulan. Toyota dengan itu memohon maaf kepada pelanggan di atas kesulitan untuk tempoh menunggu dan akan berusaha dengan terbaik bagi menyerahkan pesanan mereka secepat mungkin.

Apa yang istimewa mengenai Harrier? Pertama sekali ia adalah alternatif kepada sedan segmen D sebagai contoh Toyota Camry.

Kedua ialah reka bentuknya yang elegan. Pada setiap generasi yang diperkenalkan, Harrier berjaya menarik perhatian dengan gaya mewahnya.

Model baharu sekali lagi hadir dengan reka bentuk segar dan kali ini cenderung kepada bentuk coupe.

Ketiga ialah semestinya pada reputasi dan penjenamaan berkualiti pada Toyota itu sendiri.

Toyota Venza untuk pasaran Amerika Syarikat

Toyota Harrier generasi keempat dibina dari platform TNGA-K yang turut digunakan untuk Camry, RAV-4, Lexus ES dan terbaru MPV Sienna.

Di Jepun Harrier ditawarkan dalam dua pilihan rangkaian kuasa iaitu 2.5 liter hibrid dengan pacuan 2WD (216hp) atau E-Four 4WD (220hp).

Satu lagi pilihan ialah 2.0 liter dengan pacuan 2WD atau 4WD yang dipadan bersama transmisi Direct Shift-CVT.

Dari segi keselamatan pula, Harrier dilengkapi Toyota Safety Sense beserta fungsi pengesanan pejalan kaki pada waktu siang dan malam termasuk pengayuh basikal pada waktu siang.

Toyota Harrier generasi ketiga ada ditawarkan oleh UMW Toyota dengan enjin 2.0 turbo dan diimport terus dari Jepun dan dijual dari RM234,510.

Tiada makluman untuk model baharu setakat ini dan apa yang pasti Harrier sedang hangat di Jepun!

BACA: PANDU UJI TOYOTA HARRIER 2.0T PREMIUM – LEGASI SUV JEPUN YANG CEMERLANG

BACA: TOYOTA VENZA (HARRIER REBADGE) DIPERKENAL DI AS!

BACA: PADA 2012 AYLA DAN AGYA DIUMUMKAN, KERJASAMA DAIHATSU DAN TOYOTA

Google ads
Back to top button