
KOMPAUN RM10,000 UNTUK PESALAH BERULANG, PENCETUS PENULARAN
Kompaun RM10,000 yang berkuat kuasa 11 Mac ini hanya akan dikenakan kepada individu yang melakukan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) berulang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kompaun tersebut akan turut terpakai ke atas mereka yang menjadi punca tercetusnya kluster baharu Covid-19 di satu-satu kawasan.
Menurut beliau, nilai kompaun itu bukan dikenakan ke atas semua kesalahan pelanggaran SOP.
“Ramai yang salah faham dan bimbang dengan jumlah kompaun sehingga RM10,000. Ia bukan dikenakan ke atas semua kesalahan termasuk gagal memakai pelitup muka.
“Kompaun tersebut akan dikenakan terhadap individu melakukan kesalahan melanggar SOP berulang dan mereka yang melanggar SOP merentas negeri sehingga menyebabkan penularan Covid-19,” katanya.
Selain itu, kompaun RM50,000 akan dikenakan bagi syarikat yang melakukan kesalahan yang sama.
Abdul Hamid memberitahu, pihaknya akan melakukan semakan rekod terlebih dahulu untuk melihat sama ada individu tersebut pernah dikompaun atau tidak sebelum ini.
Katanya, jika individu itu mempunyai rekod pelanggaran SOP, polis akan membuat cadangan supaya kompaun RM10,000 dikenakan ke atas pesalah tersebut. – Awani/UTUSAN
- BACA: COVID-19: LANGGAR SOP DENDA RM10,000 MULAI 11 MAC DEPAN
- BACA: BOS PASUKAN MOTOGP FAUSTO GRESINI MENINGGAL DUNIA. TEWAS AKIBAT COVID-19
- BACA: BATAL PENERBANGAN SEBAB COVID-19. SYARIKAT PENERBANGAN PERLU BAYAR BALIK PENGGUNA
- BACA: AIRBUS MALAYSIA AIRLINES BAKAL TEMPA SEJARAH TERBANGKAN VAKSIN COVID-19








