KOREA SELATAN CARI PEMBELI JET ‘SEMI-STEALTH’ KF-21 BORAMAE. MAMPU SAINGI PESAWAT PERANG CHINA
Korea Selatan sedang mencari pasaran khusus untuk jet pejuang separa stealth yang dipuji kerana ketangkasannya dan kos penyelenggaraan yang rendah. Pesawat itu juga dilihat sebagai alternatif kepada pesawat perang China yang lebih kos efektif, kata penganalisis di negara itu.
Dengan kos setiap jet antara RM356 juta (AS$80 juta) dan RM444 juta (AS$100 juta), ia mempunyai daya saing harga yang baik dan boleh mendapatkan pelanggan dari Asia, Afrika dan Asia Barat.
KF-21 Boramae yang bermaksud helang dalam bahasa Korea, mungkin memberi saingan sengit kepada pesawat pejuang J-10 CE dan FC-31 buatan China di pasaran global, terutamanya di Afrika, kata pemerhati.
Korea Selatan dilapor sedang berusaha untuk memulakan pengeluaran besar-besaran jet KF-21 menjelang 2026 dengan tentera udara vbakal memperoleh 40 pesawat tersebut. Menjelang tahun 2026, pesawat pejuang itu akan menumpukan pada keupayaan tempur udara-ke-udara.
Pemerhati China sebelum ini berkata jet baharu itu jauh daripada setanding dengan pejuang generasi kelima seperti Chengdu J-20 China yang canggih. Namun, mereka menyatakan bahawa jika digunakan secara besar-besaran, KF-21 masih boleh mengubah imbangan kuasa tentera udara serantau.
Dibina oleh Korea Aerospace Industries (KAI), jet itu mengambil masa enam tahun setengah untuk dibangunkan. Melakukan penerbangan sulungnya bulan lalu, projek bernilai RM29.8 bilion (AS$6.7 bilion) itu pada peringkat awalnya dikiritik kerana terlalu mahal.
Tentera Udara Korea Selatan merancang untuk mengerahkan 120 unit KF-21, sebuah pesawat pejuang “generasi 4.5” menjelang tahun 2032 untuk menggantikan jet pejuang F-4 dan F-5 yang sudah tua, serta generasi keempat F di negara itu iaitu F-16 dan F-15K.
“Ketika kami melangkah lebih dekat dengan kejayaan pembangunan pesawat pejuang tempatan, ini melambangkan lonjakan baharu dalam teknologi penerbangan domestik dan peningkatan tentera berteknologi tinggi,” kata Pentadbiran Program Pemerolehan Pertahanan (DAPA) mengenai penerbangan sulung itu.
Tentera udara Korea Selatan merancang untuk mendapatkan 80 jet lagi menjelang 2030 selepas pesawat tentera itu berkeinginan mempunyai keupayaan tempur udara-ke-darat dan udara-ke-kapal menjelang 2028.
Apabila dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara Meteor Eropah dan radar buatan sendiri, KF-21 boleh menandingi jet pejuang stealth J-20 China dalam keupayaan tempur, kata Yang Uk, seorang penganalisis pertahanan di Institut Kajian Dasar Asan. Jet pejuang itu akan dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara Meteor yang dikeluarkan oleh MBDA Eropah.
Selain pesawat pejuang F-21, Korea Selatan sudah mengendalikan 40 pesawat pejuang stealth F-35 dan akan memperoleh 20 pesawat pejuang F-35 pada tahun 2023 hingga 2028.
Industri pertahanan Korea Selatan dilihat semakin berkembang pesat dengan nilai eksport dijangka melebihi RM45 bilion (AS$10 bilion) pada 2022, lebih tiga kali ganda daripada jumlah yang dijual setiap tahun antara 2010 dan 2020.
Sebagai tanda kehadiran mereka dalam pasaran pertahanan global, Korea Selatan bulan lalu menandatangani perjanjian senjata dengan Poland bernilai RM67 bilion (AS$15 bilion). Ia melibatkan beberapa tempahan besar seperti 48 pesawat pejuang serangan ringan FA-50 yang dibangunkan oleh Korea Selatan, 980 kereta kebal tempur utama K2 dan 648 howitzer gerak sendiri K9.
Kontrak itu hadir ketika Poland berusaha untuk mengisi semula gudang senjata mereka selepas ia menghantar senjata ke negara jiran, Ukraine untuk melawan tentera Rusia.
Berita ini mungkin menimbulkan kebimbangan di Indonesia, yang mengambil bahagian sebagai rakan kongsi yang menanggung 20 peratus daripada kos 8.8 trilion won dalam fasa pertama projek pembangunan KF-21. Bahagian Indonesia telah tertunggak sebanyak RM2.7 bilion (AS$613 juta).
Dalam pertemuan di antara pemimpin Indonesia, Joko Widodo dan Presiden Yoon Suk-yeol di Seoul bulan lalu, kedua-duanya mengesahkan komitmen untuk bekerjasama rapat sehingga projek F-21 siap, tetapi mereka tidak menyebut tentang tunggakan.
Korea Selatan pada mulanya berusaha untuk mendapatkan teknologi utama untuk empat peralatan kritikal — sistem radar tatasusunan imbasan elektronik (AESA) aktif, sistem carian dan jejak inframerah (IRST), pod penjejakan elektro-optik (EO TGP) dan frekuensi radio (RF) jammer daripada sekutunya, Amerika Syarikat.
AS menolaknya pada 2015, seterusnya memaksa Korea Selatan bergantung pada firma tempatan untuk membangunkan teknologi yang sangat canggih termasuk radar AESA yang boleh mengesan dan menjejaki berbilang sasaran secara serentak dan meluas.
DAPA seterusnya menandatangani kontrak pembangunan pejuang dengan KAI, pembuat pesawat tunggal negara pada Disember 2015.
Hanwha Systems Co. berjaya membangunkan sistem radar AESA, dengan prototaipnya diperkenalkan pada Ogos 2020, empat tahun selepas pelancaran usaha pembangunan radar.
Hanwha Systems pula bertanggungjawab membangunkan IRST dan EO TGP. Sistem IRST direka untuk mengesan dan menjejak objek yang mengeluarkan sinaran inframerah. Manakala EO TGP berfungsi untuk mengenal pasti sasaran dan membimbing peluru berketepatan seperti bom berpandukan laser.