Buletin

BOLEH SEWA JET MEWAH PRESIDEN MEXICO UNTUK KENDURI KAHWIN  

Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador pada Isnin memaklumkan kerajaannya akan menawarkan perkhidmatan sewaan jet mewah presiden untuk majlis ulang tahun kelahiran dan perkahwinan selepas pihaknya gagal mencari pembeli.

Lopez Obrador juga seorang peguam bela menggunakan penerbangan komersial berikrar untuk menjual Boeing 787 Dreamliner sejak kempen pilihan raya pada 2018.

Beliau enggan menggunakannya, malah menyebutnya sebagai penghinaan kepada rakyat.

Menurut Lopez Obrador, pesawat itu akan diserahkan kepada syarikat kendalian tentera yang bertanggungjawab ke atas lapangan terbang baharu yang dibuka minggu lalu di luar Mexico City dan projek infrastruktur utama lain,

“Ia disewakan untuk menjana pendapatan bagi menampung perbelanjaan dan kos penyelenggaraannya, “katanya.

“Jet itu tersedia jika seseorang berkahwin dan akan membawa keluarga dan rakan mereka.

“Ia juga boleh disewa untuk meraikan sambutan hari lahir dan perjalanan syarikat,” kata Lopez Obrador.

Pesawat itu dibeli pada harga kira-kira AS$ 218 juta (kira-kira RM958.5 juta) semasa penggal 2006 hingga 2012 ketika pentadbiran bekas presiden, Felipe Calderon.

Bagaimanapun, satu-satunya individu menggunakan jet berkenaan adalah penggantinya, Enrique Pena Nieto.

Lopez Obrador tidak dapat mencari pembeli untuk jet besar dilengkapi bilik tidur eksekutif, bilik mandi peribadi dan tempat duduk dengan kapasiti 80 penumpang.

Pada September 2020, kerajaannya mengadakan undian simbolik bertujuan mengumpul dana bersamaan nilai pesawat. – reuters/HM

Google ads
Back to top button