Buletin

KOS PEMILIKAN KERETA – DENMARK, JERMAN DAN FINLAND, ANTARA PALING MAHAL DI DUNIA

Kereta merupakan bahagian penting dalam kehidupan seharian ramai orang, tetapi memiliki kereta bukanlah mudah kerana ia melibatkan kos pembaikan, insurans serta harga bahan api semasa.

Di Malaysia, harga pemilikan kereta adalah kedua termahal dalam kalangan negara ASEAN meskipun mempunyai jenama nasional. Jika nak dibandingkan dengan Thailand, pasaran negara itu menawarkan harga yang dikatakan lebih munasabah.

Tetapi, tahukah anda negara manakah yang mempunyai nilai pemilikan kereta paling mahal di dunia?

Menerusi carta Compare The Market, data menunjukkan bahawa tiga negara – Denmark, Jerman dan Finland menunjukkan kos pemilikan kenderaan yang sangat tinggi selepas mengambil kira beberapa faktor.

1. Denmark

Denmark mempunyai purata susut nilai kenderaan tertinggi iaitu pada AS$1,809 (RM8,101), cukai dan pendaftaran ketiga tertinggi di dunia, AS$355 (RM1,589) manakala kos perbelanjaan bulanan untuk bahan api (purata) bernilai AS$2,892 (RM12,951).

2. Jerman

Jerman menduduki tempat kedua untuk perbelanjaan kereta kerana mempunyai susut nilai ketiga tertinggi, AS$1,662 (RM7,443). Sementara kos pemeriksaan di negara itu adalah kedua tertinggi pada AS$236 (RM1,056) serta beberapa perbelanjaan lain yang lebih tinggi daripada kebanyakan negara.

Walau bagaimanapun, kos tol Jerman agak rendah dengan pemandu hanya membayar purata AS$41 (RM184) setahun.

3. Finland

Berada di tempat ketiga ialah negara Scandinavia, Finland. Negara itu mengenakan kos insurans (kelima tertinggi) pada AS$720 (RM3,224), selain perlu membayar cukai dan yuran pendaftaran AS$351 (RM1,571). Lebih menambahkan beban ialah kos penyelenggaraan kereta, di mana pengguna perlu membayar sebanyak AS$2,143 (RM9,597).

4. United Kingdom

Tidak ketinggalan untuk menempatkan diri dalam lima teratas carta ialah United Kingdom, di mana kos penyelenggaraan kereta menelan belanja hampir AS$2,068 (RM9,261), jauh lebih mahal berbanding Jerman dan Denmark.

Selain itu, bayaran parkir (tahunan) juga memain peranan dalam pengiraan ini. Di UK, pengguna perlu mengeluarkan wang sehingga AS$167 (RM748) untuk parkir, lebih mahal berbanding Denmark, Jerman serta Finland.

5. Belanda

Walaupun mencatatkan susut nilai terendah iaitu AS$966 (RM4,326), Belanda bagaimanapun dibebani dengan kos insurans serta cukai dan pendaftaran (paling mahal di antara empat negara teratas).

Untuk rekod, kos berkenaan diletakkan pada nilai AS$660 (RM2,995) dan AS$521 (RM2,333).

Bagaimana pula dengan pemilikan kereta antara yang paling murah di dunia?

Menerusi carta yang sama, boleh dilihat bahawa Argentia, Colombia dan Chile merupakan antara negara menawarkan harga pemilikan agak rendah.

Sebagai contoh, Argentina adalah negara paling murah berdasarkan perbelanjaan dalam pelbagai kategori. Ini termasuklah jumlah susut nilai terkecil, AS$400 (RM1,791) dan perbelanjaan tahunan kedua termurah untuk bahan api AS$656 (RM2,937).

Selain itu, Argentina juga mengenakan bayaran tempat letak kereta serta yuran pelesenan termurah (tempat ke-3).

Sementara bagi Colombia pula, negara pantai Amerika Selatan itu mempunyai susut nilai ketiga termurah dengan kos purata AS$647 (RM2,897). Selain faktor insurans kedua termurah dan purata perbelanjaan tahunan bahan api terkecil iaitu pada AS$248 (RM1,110) dan AS$596 (RM2,669).

Negara ketiga dalam kategori itu ialah Chile. Chile mampu berada di posisi ini disebabkan oleh yuran pelesenannya paling murah iaitu AS$1.16 (RM5.20) dan purata kos insurans keempat termurah, AS$268 (RM1,200).

Sebagai perbandingan dengan Colombia, Chile mempunyai purata cukai dan kos pendaftaran yang lebih tinggi.

Google ads
Back to top button