
HARGA KERETA DIJANGKA TIDAK MENGALAMI KENAIKAN MENDADAK SEHINGGA 2025
Kementerian Kewangan (MoF) telah meredakan kebimbangan industri apabila mengekalkan nilai pasaran terbuka (OMV) duti eksais untuk kenderaan pemasangan tempatan (CKD) sehingga 2025.
Dengan keputusan itu, sekaligus harga kereta dijangka tidak mengalami kenaikan secara mendadak. Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad.
Pada Disember lalu, MAA menerima surat kelulusan daripada MoF berhubungan cadangan mengekalkan OMV yang turut memiliki kaitan kenaikan mendadak harga kereta jika struktur baharu dilaksanakan tahun ini.

Menurut Datuk Aishah Ahmad, OMV duti eksais bukan satu-satunya komponen yang mendorong kenaikan harga kereta, tetapi sekiranya struktur baharu dilaksanakan harga akan melonjak mendadak.
Beliau turut menjelaskan MAA akan mengemukakan cadangan penangguhan sekali lagi tahun depan dengan mengharapkan kerajaan mengekalkan OMV duti eksais.
Perkiraan baharu duti eksais Malaysia telah disediakan oleh MoF semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan diwartakan pada 31 Disember 2019 sebelum ditangguhkan pada 2020 sehingga penghujung tahun lalu.
Pada Julai lalu, MAA mendedahkan harga kereta CKD termasuk jenama nasional berpotensi meningkat lapan hingga 20 peratus sekiranya pengiraan OMV duti eksais baharu dikuatkuasakan tahun ini.
Oleh itu, MAA mengemukakan cadangan kepada MoF untuk menilai semula struktur baharu supaya tidak membebankan pengguna dan pasaran automotif tempatan.
Mengenai kenderaan elektrik (EV), beliau berpendapat potensi kenderaan elektrik akan melonjak bermula tahun ini berikutan beberapa pengeluar memperkenalkan model baharu, selain kemasukan beberapa jenama luar negara ke pasaran tempatan.
Untuk rekod, EV telah mencatatkan jualan 2,631 unit tahun lalu, berbanding 274 unit pada 2021.
MAA juga berharap kerajaan akan melanjutkan insentif pengecualian ini sehingga 2030 berbanding setakat Disember 2024.
Tetapi, harus diingatkan bahawa pengecualian tidak boleh diumumkan tahun ke tahun kerana ia mempengaruhi keyakinan pengeluar untuk melabur di Malaysia.
“Pengumuman sebegini tidak bagus untuk industri kerana setiap pelaburan memerlukan komitmen jangka panjang,” katanya pada sidang media pengumuman prestasi industri automotif 2022. – Berita Harian
- BACA: SEKATAN PENGELUARAN CIP DI MALAYSIA, JEJAS INDUSTRI AUTOMOTIF DUNIA
- BACA: PERODUA PENUHI JANGKAAN PELANGGAN. MAKSIMUMKAN POTENSI INDUSTRI AUTOMOTIF TEMPATAN
- BACA: RINGGIT KUKUH BERBANDING DOLAR AS, BERI KESAN POSITIF INDUSTRI AUTOMOTIF
- BACA: INDUSTRI AUTOMOTIF THAILAND JADI TUMPUAN JENAMA CHINA, BERSAING SENGIT KETEPIKAN TOYOTA







