
AC COBRA GT ROADSTER – KLASIK MODEN DENGAN 654 HP KUASA
AC Cars ialah antara pengeluar kereta tertua di Britain dan kini mereka baharu sahaja melancarkan model terbaharu mereka yang dinamakan GT Roadster. Jelas sekali ia adalah jelmaan model ikonik AC Cobra dan pelancarannya disempurnakan di Stadium Tottenham Hotspur.

Walaupun diinspirasikan daripada model asal tapi ia kini lebih moden dan boleh didapati dalam versi pemanduan sebelah kiri ataupun kanan. Casisnya kini adalah 11.1 inci lebih panjang daripada model dan treknya juga dilebarkan. Ia dihasilkan daripada aluminium manakala komponen badan pula dihasilkan daripada karbon komposit yang hanya seberat 50 kilogram.
Cobra GT Roadster baharu ini akan dilengkapkan dengan enjin 5.0 liter V8 supercharge. Versi standard mempunyai 454 hp kuasa manakala model flagship pula akan mendapat 654 hp kuasa maksima! Dua pilihan transmisi ditawarkan untuk AC Cobra baharu ini sama ada manual enam kelajuan ataupun automatic 10-kelajuan dengan pedal tukaran.

AC Cars mendedahkan yang Cobra GT Roadster versi flagship mampu mencecah kelajuan 100 km/j hanya dalam masa 3.4 saat. Faktor utama semestinya berat keseluruhan kereta ini yang dikatakan hanya sekitar 1,450 kilogram sahaja.
Bahagian luaran memang nampak seakan sama dengan AC Cobra klasik tetapi dengan sedikit perubahan di sana sini. Setengahnya memang dimodenkan agar sesuai dengan peredaran zaman. Lampu utama contohnya telah digantikan dengan lampu LED siap dengan fungsi DRL. Rimnya juga kini lebih besar. Rim besar barulah terpaling motorsport kan bang?
Bahagian dalaman juga menerima nafas baru tetapi meter-meter bentuk bulat gaya retro masih dikekalkan begitu juga dengan roda stereng tiga jejari. Butang Start/Stop tersorok di bawah penutup berwarna merah yang boleh dibuka seperti model-model Lamborghini. Terdapat juga satu unit skrin infotainment kecil.

AC Cobra GT Roadster ni memang bukan calang-calang kereta tapi disebabkan cuaca di Malaysia ni panas sangat sekarang terpaksalah kami tunda dulu tempahan sehingga suhu kembali menurun.